PENYANYI rap, Caprice mendakwa isterinya menerima satu 'barang' dipercayai benda mistik yang diletakkan di atas bonet kereta pasangannya itu di tempat parkir kediaman mereka.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri beliau atau nama sebenarnya Ariz Ramli di Instagramnya pada Selasa.
Berdasarkan klip dikongsikan itu, 'barang' yang dibungkus seperti mayat dikafankan itu terdiri daripada pelitup muka berwarna hitam dengan tisu putih.
Pada video sama, Caprice dan isterinya juga difahamkan sudah membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut yang disifatkannya sebagai satu ancaman kepada keluarganya.
"Saya tak tahu ini siapa dan macam mana dia tahu kami tinggal di mana. Tempat ini sangat-sangat privasi dan kami tak pernah dedahkan kami tinggal di mana.
"Bagaimanapun, seseorang letak sesuatu di kereta isteri saya. Kereta lain tiada masalah.
"Saya percaya isteri saya jadi sasaran. Ini tak kelakar dan tak lawak dah. Ini sudah tahap mengganggu keselamatan keluarga saya," katanya menerusi video dikongsikan itu.
Caprice dan isterinya, Farra Elis menarik perhatian pada minggu lalu selepas kedua-duanya tampil memberikan ulasan mengenai isu poligami dalam satu siri bual siar di saluran YouTube Caprice Original Films.
Program dihoskan pasangan itu turut disertai tetamu jemputan iaitu Abang Tesla atau nama sebenarnya Mohammad Khaliltizam Yusri yang kisahnya mengambil keputusan untuk berpoligami tular di sosial media sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet.
Hadir sama dalam bual siar itu ialah Nurmajdina Jamari yang merupakan isteri pertama Abang Tesla. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram