PENYANYI dan komposer muzik tersohor Indonesia, Ahmad Dhani menganggap perjalanan hidupnya hampir sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila turut pernah dipenjarakan satu ketika dahulu.
Perkara itu disampaikan ketika mengendalikan sebuah program Temu Anwar yang julung kalinya diadakan di Jakarta, Indonesia pada Selasa.
Tampil berseloroh ketika menyampaikan ucapan di pentas, Ahmad Dhani berkata, dia dan Anwar Ibrahim pernah dipenjara oleh pihak atasan.
"Anwar sama saya, pernah dipenjara oleh rejim, cuma Pak Anwar sudah menjadi orang nombor satu, saya belum," ujarnya dengan nada gurau.
Untuk rekod, vokalis kumpulan Dewa 19 itu pernah dipenjarakan selama 18 bulan di Penjara Cipinang Jakarta Timur, Indonesia atas kesalahan menyebarkan kebencian di platform Twitter pada Januari 2018 sebelum dibebaskan pada Disember 2019.
Dalam masa sama, Ahmad Dhani juga secara berseloroh menyatakan Anwar turut bersetuju untuk menghadiri konsert orkestra Indonesia bersama kumpulan dari Malaysia pada masa akan datang.
"Kita sokong program sosialisasi untuk mendekatkan muzik Indonesia dan Malaysia," ujarnya.
Untuk makluman, Temu Anwar merupakan sebuah program dialog Perdana Menteri bersama dengan anak muda Indonesia.
Program tersebut diadakan dalam rangka lawatan Perdana Menteri ke negara itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 yang akan berlangsung di Jakarta dari 5 hingga 7 September. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram