[VIDEO] Caprice nasihat 'adik kafe tutup' supaya jadi jantan, jangan manja


  • Hiburan
  • Selasa, 02 Mei 2023

Tangkap layar Caprice menasihati agar pelajar terbabit tidak terlalu manja dan cuba untuk mencari jalan agar menyelesaikan masalah.

SELEBRITI popular, Caprice menasihatkan agar pelajar sebuah universiti tempatan yang mendakwa tidak makan seharian kerana kafeteria tutup agar tidak terlalu manja.

Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 35, berkata, lelaki tidak boleh terlalu manja dan perlu sentiasa berusaha untuk mendapatkan sesuatu perkara.

"Minta maaf dik (adik), hidup ini tidak boleh manja sangat. Lain kalau adik kata tiada duit sampai dua tiga hari tidak makan. Boleh kita buka tabung atau bagi transfer (pindahan) duit raya.

"Tapi ini tidak, adik ada duit cuma tidak berjaya makan. Kita sebagai lelaki, sebagai jantan, kita kena setiasa cari jalan," ujarnya di Instagram.

Caprice memberi reaksi tersebut berdasarkan laporan Majoriti pada Isnin.

Dalam pada itu, Caprice turut menasihatkan agar pelajar berkenaan agar belajar hidup susah dan berusaha mencari jalan untuk selesaikan masalah.

"Percayalah, ini bukan pertama kali akan hidup susah. Akan ada banyak lagi rintangan lain yang akan datang.

"Percayalah makin banyak mengharungi rintangan membuatkan kita menjadi orang yang lebih baik. Insya-ALLAH," tambahnya.

Sebelum ini, pelajar terbabit memuat naik video sambil menangis mengatakan dirinya seharian tidak makan sehinggalah seorang pelajar senior membelikan makanan.

Sorotan daripada insiden itu, pelajar berkenaan kemudian membuat permohonan maaf dan mengaku berlaku salah faham kepada pihak universiti.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram