SEORANG mahasiswa di sebuah universiti tempatan menangis kesedihan gara-gara kelaparan selepas sehari tidak makan ekoran daripada kafeteria di institusi pengajian tersebut tidak beroperasi.
Pelajar lelaki berkenaan meluahkan kesedihannya itu melalui akaun TikTok @bayinuckal pada Ahad.
Melalui video berdurasi seminit tersebut, pelajar berkenaan mendakwa dia terpaksa pulang awal ke kampus ekoran daripada pihak universiti meminta penuntut di pusat pengajian berkenaan untuk melaporkan diri.
“Semalam (Sabtu) saya sudah tak makan satu hari, tak makan itu bukan tak ada duit tapi sebab kafeteria tak buka.
“You know what (awak tahu tak) universiti ini suruh kita masuk tapi dia tak nak buat online (belajar secara dalam talian) dua dan tiga hari bulan, tapi makanan semua tak ada dalam ini (universiti).
“Habis itu macam mana pelajar yang masuk ini nak makan apa?,” soalnya.
Namun begitu, tidak dinyatakan universiti pelajar itu melanjutkan pelajaran.
Jelasnya lagi, dia bernasib baik apabila seorang pelajar senior membelikan makanan yang dibungkus dari kedai luar kerana kasihan dengan nasibnya pada Ahad.
"Saya sangat terharu apabila ada kakak ini tanya saya dah makan ke tak dan saya beritahu dia yang saya belum lagi makan daripada semalam (Sabtu).
"Saya nak bayar pun, dia tak nak. Dia bagi percuma," katanya sambil menunjukkan makanan yang dibelikan.
Difahamkan, pelajar tersebut memuat naik video berkenaan untuk mengucapkan terima kasih kepada pelajar senior tersebut.
Pada masa sama, mahasiswa tersebut turut menasihati pihak universiti untuk menyediakan tempat makan sekiranya ingin pelajar pulang lebih awal.
Menjengah ke ruangan komen, warga maya memberikan pelbagai reaksi yang berbeza berhubung video tersebut.
Seorang pengguna TikTok valerie_robinson, meninggalkan komen yang sinis selepas melihat video berkenaan.
"True (benar). Orang dalam penjara dapat makanan free (percuma) tetapi pelajar berlapar dan kebuluran. Realiti di Malaysia," tulisnya.
Fido pula menasihatkan mahasiswa tersebut periuk nasi elektrik dan makanan kering seperti mi segera untuk dimasak.
Seorang lagi warganet, Hafiz_Faisal meminta pelajar itu untuk kuat dan tidak menunjukkan kelemahannya di khalayak ramai.
"Adik, kuat sikit. Banyak lagi cara nak dapatkan makanan. kita bukan di negara berperang, keluar dan beli makanan kat luar. Jangan lemah, kita ini lelaki," katanya.
Sementara itu, mfnmspolini menggesa agar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius tentang isu berkenaan.
"KPT patut ambil perhatian tentang isu ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram