BIARPUN sudah tiga tahun berlalu, kenangan indah Yuna yang menjadi sebahagian daripada ahli keluarga Sinclair tidak pernah luput daripada ingatan.
Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara'ai, 36, berkata, saling berkomunikasi dengan suami, Adam Sinclair penting sepanjang tempoh melalui fasa tersebut hingga ke hari ini.
"Ketika Adam melalui fasa kehilangan abangnya, Ashraff Sinclair, kami banyak berkomunikasi. Kenangan bercuti di New York (Amerika Syarikat) itu adalah momen paling indah buat kami sekeluarga.
"Tentu sahaja waktu itu merupakan perkara yang agak mengejutkan kepada keluarga dan berlaku di luar jangka.
"Komunikasi pada saya sangat penting lebih-lebih lagi ketika kita berhadapan dengan sesuatu yang trauma. Komunikasi dan bercakap soal perasaan bagi mengelakkan memendam perasaan," katanya kepada Majoriti.
Yuna memastikan dirinya dan Adam berkomunikasi dengan baik terutama saat berdepan dengan detik sukar dalam hidup.
Dalam pada itu, Yuna yang kini muncul dengan lagu baru bertajuk Menanti turut menjadikan kenangan kehilangan insan tersayang sebagai inspirasi.
"Lagu ini diilhamkan daripada pengalaman sendiri yang kehilangan sepupu pada 2021 akibat masalah kesihatan.
"Kami berdua sangat rapat dan boleh dikatakan seperti kembar. Sewaktu arwah sepupu meninggal dunia, saya memang agak terkesan.
"Jadi lagu ini ditujukan untuk mereka yang melalui fasa sama iaitu kehilangan orang tersayang," tambahnya.
Untuk rekod, lagu Menanti merupakan karya bahasa Melayu terkini selepas tujuh tahun yang dihasilkan bersama bintang rap antarabangsa, Kenny J Macartney.
Yuna muncul dengan EP baharu bertajuk Masih Yuna yang mengandungi empat buah lagu.
Menanti merupakan salah satu lagu dalam EP bertajuk Masih Yuna termasuk Asing, Masih Sunyi dan Camaraderie selain kerjayanya masih berpangkalan di Los Angeles, Carlifornia, Amerika Syarikat (AS).
Sebelum kembali berangkat ke AS, Yuna memaklumkan dia ingin menikmati hidangan nasi daun pisang dan mi hokkien selain mengakui rindu dengan masakan tempatan.
Yuna dan Adam mendirikan rumah tangga pada Januari 2018 di Puncak Rimba, Bentong, Pahang dengan dihadiri kira-kira 300 orang tetamu.
Ashraf Sinclair menghembuskan nafas terakhir pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung meninggalkan isterinya, selebriti Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) dan anak lelaki, Noah.
Dalam pada itu BCL turut dikhabarkan sudah menemui pengganti dan kini dilihat semakin bahagia dengan teman lelaki, Tiko Aryawardhana. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram