Mahasiswa tampil mohon maaf, khilaf tuduh universiti tidak sediakan makanan untuk pelajar


  • Tular
  • Selasa, 02 Mei 2023

Tangkap layar seorang pelajar di sebuah universiti tampil memohon maaf kepada pihak universiti atas kekhilafannya pada Selasa.

SEORANG mahasiswa universiti tempatan yang mendakwa dirinya tidak makan seharian gara-gara kafeteria tutup baru-baru ini tampil sekali lagi memuat naik video terbaharu untuk memohon maaf kepada pihak universitinya pada Selasa.

Individu tersebut melalui akaun TikTok @bayinuckal memohon maaf kerana berlaku salah faham mengenai kenyataannya sebelum ini yang mana pihak universiti tidak menyediakan makanan untuk pelajar yang melaporkan diri di institusi berkenaan dari balik bercuti.

Dia turut memaklumkan pihak pengurusan universiti sebenarnya ada menyediakan makanan kepada pelajar yang berdepan masalah untuk mendapatkan makanan.

“Dalam video ini, saya ingin minta maaf banyak-banyak kepada pihak universiti sebab sebelum ini, saya tersalah faham. Walaupun kafeteria tak buka, tapi pihak universiti menyediakan makanan kepada pelajar yang ada masalah dari segi kewangan atau masalah untuk mendapatkan sumber makanan.

“Jadi sebenarnya pihak universiti saya ada menyediakan keperluan makanan dan minuman kepada pelajar yang mempunyai masalah tersebut. Cuma saya tidak tahu tentang perkara itu.

“Maka di sini saya ingin minta maaf sekali lagi kepada pihak universiti kerana salah faham sebelum ini,” katanya menerusi video dimuat naik hari ini.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan seorang mahasiswa di sebuah universiti tempatan menangis kesedihan gara-gara kelaparan selepas sehari tidak makan ekoran daripada kafeteria di institusi pengajian tersebut tidak beroperasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram