PENYAMPAI radio Suria FM, Tyzo memilih untuk memandu kenderaan tanpa hala tuju sebagai salah satu cara untuk dia menenangkan fikiran.
Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris berkata, fikiran dan emosinya berasa lebih tenang selepas memandu selain beranggapan itu sebagai salah satu cara untuk dia memperoleh percutian singkat.
“Secara jujur saya memang suka bawa kereta tanpa ada sebarang perancangan. Begitu juga jika saya ingin bercuti, saya tidak suka merancang melankan ‘main redah’ saja.
“Saya lebih suka perkara yang spontan dan ikut saja di mana gerak hati mahu pergi.
“Bila rasa down, saya suka berada dalam kereta dan memandu saja ke mana ingin pergi. Kadangkala, apabila sampai saja ke destinasi, saya tidak turun mengambil gambar, cukup sekadar duduk dalam kereta sudah memadai,” katanya kepada Majoriti.
Tyzo mengakui kerap berdepan dengan kekecewaan sama ada dalam hubungan pasangan atau persahabatan.
Dalam pada itu, bapa seorang cahaya mata itu turut mengakui dia sudah lali berdepan dengan kekecewaan tidak mengira sama ada dalam hubungan pasangan atau sahabat.
Jelasnya, pengkhianatan itu sering berlaku dalam kalangan orang terdekat. Meskipun begitu, dia sentiasa bersyukur kerana ALLAH sentiasa memberi kekuatan dan membukakan jalan untuk kembali bersemangat.
“Tersakiti itu perkara biasa kerana itulah pengalaman hidup yang kita perlu tempuh. Saya percaya orang yang khianat kita selalunya mereka orang rapat.
“Prinsip saya sangat mudah dan selalunya mengatakan ini kepada diri sendiri, aku tidak menyesal hilang kau, tapi kau akan menyesal hilang aku,” ujarnya.
BACA LAGI: Tyzo sedih tidak dapat sambut kejayaan bersama ibu
Bagaimanapun, Tyzo tidak menjelaskan secara terperinci mengenai permasalahan tersebut secara terperinci, cuma mengatakan hal itu melibatkan dirinya dan rakan-rakan.
“Apabila bersahabat saya memang akan menjadi sebaik mungkin dan jujur. Saya tidak tahu bagaimana hendak jadi plastik dengan orang yang dekat dengan saya.
“Namun, kadangkala kejujuran itu ada yang disalah erti dan mungkin menyebabkan mereka berasa tidak selesa.
“Sejujurnya saya berasa tidak kecewa atau menyesal dengan perkara yang berlaku. Saya anggap ini sebagai pembelajaran untuk jadi lebih kuat menempuh kehidupan,” terangnya.
Dalam perkembangan lain, Tyzo bersama penyampai radio Suria FM muncul dengan naskhah istimewa Aidilfitri bertajuk Raya Akhir.
Selain itu, Raya Akhir turut menampilkan pelakon veteran Uji Rashid dan boleh ditonton di platform media sosial Facebook dan YouTube Suria FM.
Dalam perkembangan terkini, lebih mengujakan, Tyzo turut muncul sebagai Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-35 pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram