'Jangan 'kekwat' di set kalau tidak mahu kena boikot', nasihat penerbit kepada pelakon


  • Hiburan
  • Khamis, 13 Apr 2023

Jaja Ishak tidak menolak dia akan memboikot pelakon yang mempunyai masalah sikap di set penggambaran.

PENERBIT Jaja Ishak menasihatkan pelakon agar tidak berlagak 'diva' di set penggambaran selain tahu bagaimana untuk bergaul dengan tenaga kerja lain.

Katanya, tindak-tanduk artis terbabit secara tidak langsung mempengaruhi reaksi kakitangan iaitu kru terlibat termasuk gandingan pelakon lain untuk bekerja dengan artis berkenaan.

"Saya mengamalkan konsep mudah iaitu jika artis itu memberikan kerjasama baik, insya-ALLAH hal itu akan memudahkan lagi untuk berkerja bersama pada masa akan datang.

jaja1

Jaja terbuka bekerjasama pelakon yang terkait dengan kes mahkamah, namun tetap bergantung kepada pihak stesen televisyen.

"Kalau artis terbabit mula menunjukkan sikap yang kurang menyenangkan seperti meletakkan harga terlalu tinggi atau tidak bergaul baik dengan kru dalam kata mudah 'tidak bermasyarakat', mungkin itu akan menjadi kali terakhir saya mengambil dia berlakon," jelasnya.

Jaja yang ditemui di majlis berbuka puasa di sebuah hotel di ibu negara turut memberitahu, dia terbuka menerima selebriti yang terkait dengan kes mahkamah.

"Saya setuju untuk boikot artis bermasalah, tetapi jika perkara itu melibatkan soal peribadi, saya tidak berani masuk campur.

jaja1

Telefilem Cucu Wan yang bersiaran di TV3 antara karya terbitan Jaja Ishak Channel sempena meraikan Ramadan dan Lebaran.

"Konsep saya mudah iaitu ingin bekerja dalam keadaan tenang, dan senang. Hujung-hujung semua pihak puas hati dan tidak bermasam muka.

"Bagaimanapun, keputusan pemilihan pelakon itu tetap bergantung kepada stesen televisyen sama ada membenarkan penglibatan mereka atau tidak. Jika saya, sejujurnya tiada masalah selagi artis itu tidak 'buat' masalah dengan kru produksi," katanya.

Pemilik rumah produksi Jaja Ishak Channel itu sebelum ini menerbitkan beberapa karya antaranya telefilem Cucu Wan, Bosskid, Syura Nur Muhammad dan Cikgu Nerd. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram