BUKAN sahaja menjadi kegilaan kanak-kanak, malah terdapat juga golongan dewasa yang minat menonton filem animasi dan tentunya ada beberapa elemen diketengahkan karya itu memiliki faktor tarikan.
Salah satunya berkisarkan perlumbaan kereta yang sarat dengan mesej positif dan nasihat. Biarpun dipaparkan secara santai dalam bentuk kartun, namun itu bukan penghalang untuk menonton naskhah terbabit.
Terdapat beberapa karya popular yang malar segar dan masih mendapat tontonan sehingga ke hari ini. Meskipun plot penceritaan diterjemah dalam bentuk animasi, karya terbabit turut menjadi kegilaan golongan dewasa.
Justeru, berikut filem animasi popular yang menjadikan perlumbaan sebagai latar penceritaan sekali gus membakar semangat dan dijadikan iktibar.
Kebanyakkannya diceritakan secara santai sesuai buat tonton seisi keluarga lebih-lebih ketika musim cuti sekolah.
Cars
Filem trilogi Cars mula ditayangkan pada 2006 dan diterbitkan oleh Walt Disney Pictures dan Pixar Animation Studios. Cars merupakan filem animasi digital komputer Amerika Syarikat yang popular. Bahkan ia turut mendapat kutipan pecah panggung sebanyak AS$462 juta (RM2.03 bilion).
Filem ini mengisahkan tentang pelumba kereta popular, Lightning McQueen yang mulanya berlagak sombong berubah sikap setelah tersesat ke sebuah pekan terpencil bernama Radiator Springs. Di sana McQueen mengasah kemahirannya untuk menjadi pelumba kereta yang lebih baik.
Penceritaan diteruskan kepada sekuel Cars II yang masih mengekalkan elemen perlumbaan kereta. Menggunakan beberapa latar tempat seperti Jepun dan Itali. Sedikit perbezaan, Cars II diselitkan dengan unsur penyiasatan oleh sekumpulan penjenayah.
Konsep penceritaan lebih bersifat dewasa kerana terdapat beberapa babak aksi seperti kemalangan dan babak tembak menembak yang dianggap tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak meskipun dipaparkan secara animasi.
Setelah Cars II yang diterbitkan pada 2011, filem ini diteruskan kepada Cars 3. Ditayangkan pada 2017, karya ini menceritakan tentang perjalanan hidup McQueen yang sudah bergelar pelumba senior. Dia perlu berdepan dengan barisan pelumba muda ketika kesemua rakan-rakannya sudah bersara.
Kisah dipaparkan filem Cars 3 juga bersifat matang dan bersesuaian dengan tontonan dewasa. Ini kerana plot penceritaan memaparkan bagaimana seseorang yang sudah berusia perlu berhadapan dengan perubahan teknologi, corak pemikiran orang muda, kehadiran pelapis baharu dan penerimaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
Initial D
Siri animasi ini merupakan karya manga popular Jepun yang berkisarkan tentang perlumbaan jalanan yang dituliskan dan diilustrasikan oleh Shuichi Shigeno. Naskhah ini mula ditayangkan sekitar 1990-an sehingga 2013.
Secara ringkasnya animasi ini diminati tak kira dewasa dan juga kanak-kanak. Bagaimanapun, plot penceritaan lebih dekat dengan golongan dewasa berbanding anak kecil kerana karakter utamanya lingkungan usia remaja.
Initial D menceritakan tentang Takumi Fujiwara yang merupakan pelajar dan bekerja di sebuah stesen minyak. Takumi berkemahiran dalam perlumbaan kereta, namun dirahsiakan daripada rakan-rakannya.
Turbo
Diterbitkan pada 2013, filem Turbo terbitan DreamWorks Animation berbeza berbanding kisah perlumbaan lain. Ini kerana filem arahan David Soren itu menjadikan seekor siput sebagai watak utama.
Umum mengetahui siput antara haiwan yang bergerak perlahan, namun, mampu menyertai perlumbaan. Segalanya bermula apabila Theo yang sangat meminati sukan perlumbaan telah berusaha menemui pelumba kesayangannya.
Bagaimanapun berlaku satu kemalangan yang menyebabkan Theo memiliki kuasa luar biasa iaitu mampu bergerak pantas. Kelebihan itu membuatkan Theo semakin optimis untuk menjadi pelumba berjaya.
Planes
Selain kereta dan haiwan, terdapat juga filem yang menggunakan elemen sama namun berbeza subjek iaitu pesawat. Filem Planes yang ditayangkan pada 2013 menceritakan tentang Dusty Crophopper yang bekerja sebagai pesawat pertanian.
Ia menyimpan hasrat untuk menjadi pesawat pelumba. Impiannya itu berjaya apabila muncul juara dalam beberapa perlumbaan. Namun setelah beberapa kali meraih kemenangan, Dusty akhirnya mengalami kecederaan.
Filem Planes diteruskan kepada Planes 2: Fire & Rescue. Dalam filem ini Dusty mengalami kecederaan teruk apabila enjin gearbox rosak teruk. Ia kemudian di hantar ke unit keselamatan bagi membantu beberapa pesawat lain.
Pada awalnya Dusty agak sukar membiasakan diri kerana perasaan untuk menjadi pelumba masih membara. Namun, ia perlu akur kerana kerosakkan itu mampu menjejaskannya.
Bagaimanapun, berlaku insiden yang membuatkan Dusty berubah dan menjadi lebih matang serta menerima takdir hidupnya dengan berlapang dada.
Wheely
Filem ini hasil buah tangan anak tempatan dan diterbitkan oleh KRU Studios. Diterbitkan pada 2018, Wheely: Fast and Hilarious turut menggunakan elemen perlumbaan sebagai plot penceritaan.
Diarahkan oleh Datuk Yusry Abdul Halim, menceritakan tentang Wheely yang sangat optimis terhadap sukan perlumbaan kereta. Cita-cita dan keinginannya itu bagaimanapun terpaksa ditunda kerana mengalami kerosakan teruk.
Kemudian keadaan menjadi parah apabila kekasihnya, Bella diculik oleh kumpulan musuh. Filem ini memaparkan tentang jenayah penyeludupan kereta mewah.
Filem ini turut mendapat kutipan pecah panggung sekitar RM1.34 juta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram