MASALAH kesihatan yang semakin merosot, membuatkan Ezna Syaqira Zakaria mudah penat dan berasa sukar untuk bernafas.
Ezna Syaqira, 41, menghidap Hipertensi Arteri Pulmonari (Pulmonary Arterial Hypertension, PAH) iaitu tekanan darah tinggi dalam arteri pulmonari dan cabang-cabangnya. Saluran darah ini membawa darah dari jantung ke paru-paru.
Sejak 2009, Ezna Syaqira meneruskan hidup dengan penyakit tersebut yang kadangkala menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk bergerak bebas disebabkan perlu bergantung kepada mesin oksigen.
Dia yang bekerja sebagai penterjemah bebas bergantung hidup dengan menawarkan perkhidmatan penterjemahan kandungan bahasa Inggeris ke bahasa Melayu dan sebaliknya.
“Tahap kesihatan saya sebelum ini asyik turun naik dan kini semakin merosot sehinggakan tidak larat untuk berjalan jauh.
Ezna mudah berasa penat dan nafas tercungap-cungap kerana mengalami PAH.
“Dahulu berjalan lebih daripada 100 meter masih gagah lagi, tetapi sekarang jalan pada jarak 100 meter saja sudah berasa penat dan tercungap-cungap. Jadi saya akan mengambil masa agak lama sekiranya ingin berjalan dengan sendiri,” katanya kepada Majoriti.
Meskipun mampu untuk menguruskan diri sendiri, namun Ezna Syaqira kadangkala mudah berasa sesak nafas meskipun sekadar berjalan dari dapur ke ruang tamu kediaman satu tingkat.
“Saya masih boleh menguruskan diri sendiri seperti biasa, cuma tidak mampu untuk berjalan atau melakukan pergerakan fizikal terlalu lama.
“Bercakap juga boleh menyebabkan saya mengah. Untuk berjalan lama, keluarga akan menyediakan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan agar tidak berasa penat.
Antara contoh mesin pemekat oksigen mudah alih yang dianggarkan bernilai RM15,000.
“Selain pergi mendapatkan rawatan, saya juga menggunakan kerusi roda untuk berjalan-jalan dan menziarahi ke rumah sanak saudara,” ujarnya yang juga seorang anak yatim piatu itu.
Disebabkan itu, Ezna Syaqira melancarkan kutipan dana di kitafund.com bagi membantunya untuk mendapatkan mesin pemekat oksigen atau oxygen concentrator mudah alih bagi membantunya untuk bergerak.
“Saya ada memiliki sebuah mesin pemekat oksigen di rumah, tetapi bentuknya agak besar dan berat sekitar 5 kilogram (kg). Berbeza pula mesin pemekat oksigen mudah alih yang lebih kecil dan ringan.
“Namun setelah membuat penelitian, harga mesin tersebut dianggar sekitar RM15,000 dengan berat sekitar 3 kg. Angka itu tentu saja agak mahal dan di luar kemampuan saya yang bekerja sebagai penterjemah sambilan,” ujarnya.
Individu yang ingin menghulurkan bantuan boleh mengimbat kod QR bagi membantu Ezna Syarira untuk mendapatkan mesin pemekat oksigen bernilai RM15,000.
Ezna Syaqira mengharapkan mesin pemekat oksigen mudah alih tersebut dapat membantu dia menjalani kehidupan lebih baik terutama apabila bergerak dari satu ke lokasi ke lokasi berbeza.
Kepada yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menghubungi di talian 012-3142 847 atau imbas kod QR untuk menyalurkan dana terus kepadanya.
Untuk rekod, Ezna Syafiqa menetap bersama ibu saudara di Kota Damansara, Selangor itu turut perlu mendapatkan rawatan susulan di institut Jantung Negara (IJN). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram