PENTINGNYA menjaga ketepatan waktu azan Subuh dan Maghrib sepanjang Ramadan kerana hal itu boleh mengakibatkan puasa seseorang terbatal.
Pernah suatu ketika dahulu kejadian berlaku pada April 2021 apabila kariah sebuah masjid di Taman Seri Gombak, Selangor tersilap melaungkan azan Maghrib tiga minit awal dari masa sebenarnya.
Natijahnya, individu yang merujuk kepada azan masjid terbabit terbatal puasa mereka dan wajib diqada.
Sebab itu penting dalam menentukan ketepatan waktu berbuka dan bersahur bagi mengelakkan sebarang kemungkinan begitu terjadi.
Mohamad Dininazmi Sabri
Namun bagaimana pula sekiranya seseorang itu berasa ragu-ragu terhadap masuknya waktu berbuka dan bersahur.
Pensyarah Pengajian Islam Universtiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Mohamad Dininazmi Sabri, berkata, tersalah waktu sahur atau ragu-ragu waktu sahur tamat, hukumnya tidak membatalkan puasa.
"Namun sekiranya selepas itu dia yakin bahawa sudah tersalah makan selepas tamatnya waktu sahur, maka puasanya batal dan hendaklah dia menggantikannya pada hari lain.
"Bagi hukum ragu-ragu atau tersalah waktu berbuka ada sedikit perbezaan. Sekiranya seseorang berbuka kerana menyangka matahari telah terbenam, namun hakikatnya belum maka dalam hal ini batal puasanya dan perlu ganti," jelasnya kepada Majoriti.
Sebelum berbuka puasa, cuba dapatkan info atau maklumat waktu solat Maghrib bagi mengelakkan keraguan atau kesilapan.
Melihat kepada itu, para ulama sepakat bahawa waktu berbuka apabila sudah dipastikan matahari terbenam sama ada individu terbabit melihat sendiri atau dengan khabar daripada dua saksi yang melihat.
"Perkara ini untuk mengelakkan kita daripada terburu-buru berbuka dan belum pasti kesahihan waktu berbuka," terangnya.
Secara kesimpulan, kepastian mengenai waktu berbuka adalah penting bagi mengelak berlaku kesilapan sehingga mengakibatkan puasa terbatal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram