Apakah pelajar layak bayar zakat fitrah? Berikut pencerahan mengenai Rukun Islam ke-4


  • Mukmin
  • Rabu, 12 Apr 2023

Bayaran zakat merupakan kewajipan kepada semua umat Islam yang berkemampuan bagi membantu golongan yang memerlukan.

SETIAP umat Islam yang berkemampuan perlu melaksanakan kewajipan mengeluarkan zakat. Hal itu ditegaskan apabila tanggungjawab tersebut dinyatakan dalam Rukun Islam keempat.

Zakat membawa maksud menyucikan iaitu membersihkan harta, mengeratkan hubungan silaturrahim dan mengembangkan punca rezeki.

Zakat adalah mengeluarkan harta mengikut syarat yang ditentukan syarak mengikut kadar ditetapkan untuk diberikan kepada golongan tertentu.

Terdapat pelbagai jenis zakat antaranya zakat emas dan perak, zakat tanaman, zakat ternakan, zakat perniagaan, zakat galian, zakat wang simpanan, zakat saham dan zakat pendapatan. Setiap zakat memiliki kiraan dan golongan tertentu yang perlu melunaskan tanggungjawab mereka.

Sementara itu, zakat fitrah pula ialah sedekah yang wajib dikeluarkan pada Ramadan sebelum masuknya 1 Syawal. Bersempena dengan kedatangan Ramadan, umat Islam dinasihatkan agar tidak melengahkan bayaran zakat fitrah kerana bimbang berkemungkinan 'terlajak' memandangkan sibuk membuat persiapan menyambut Lebaran.

ezgif-3-db8754a144

Bayaran zakat fitrah perlu dilaksanakan pada bulan Ramadan sebelum tibanya 1 Syawal.

Daripada hadis Bukhari, Ibnu Umar menyebut, Rasulullah SAW bersabda: "Mewajibkan zakat fitrah setiap bulan Ramadan kepada umat Islam, iaitu sebanyak satu saa' iaitu satu gantang kurma atau satu saa' (gantang) gandum. Kewajipan itu dikenakan kepada keseluruhan orang-orang Islam, merdeka ataupun hamba, lelaki ataupun wanita." (1635)

Pensyarah Pengajian Islam Universtiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Mohamad Dininazmi Sabri berkata, bayaran zakat fitrah merupakan tanggungjawab orang yang wajib ke atasnya memberi nafkah kepada keluarga iaitu suami, bapa dan datuk.

"Dalam kata mudah individu yang perlu mengeluarkan zakat fitrah bukan sahaja berkemampuan, tetapi dia yang berperanan sebagai pemberi nafkah kepada keluarga.

"Sekiranya ada antara ahli keluarga seperti anak yang sudah bekerja dan ingin untuk membayar zakat, dia perlu mendapat izin daripada ketua keluarga terlebih dahulu," jelasnya kepada Majoriti.

Tambah Mohamad Dininazmi, situasi itu dikaitkan dengan anak perempuan, lelaki atau pelajar yang masih berada di bawah jagaan orang tua iaitu belum berkahwin, perlu mendapatkan keizinan atau memaklumkan hal tersebut kepada penjaga.

"Anak perempuan yang sudah bekerja dan memiliki pendapatan sendiri namun masih belum berkahwin, itu bermakna dia masih di bawah tanggungjawab bapanya. Sekiranya hendak membayar sendiri, dia perlu mendapatkan keizinan bapa.

"Jika bapa telah beritahu tidak perlu disebabkan si bapa ingin membayar, justeru anak perempuan itu tidak perlu untuk membayarnya," katanya.

majoriti2023 (66)

Mohamad Dininazmi

Begitu juga dengan pelajar universiti yang memiliki wang lebihan daripada biasiswa, Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh mengeluarkan wang mereka untuk membayar zakat fitrah.

Sementara itu, bagi anak yang menjaga pasangan orang tua yang tidak berkemapuan sama ada dari segi kewangan atau fizikal untuk membayarnya, maka anak perlu membantu orang tuanya untuk membayar zakat fitrah.

"Anak perlu membayar zakat fitrah bagi ibu dan bapa yang berada di bawah jagaan mereka disebabkan keuzuran atau daif. Sekiranya ibu bapa ingin membayar, tetapi tidak mampu melakukannya sendiri, maka si anak boleh membantu untuk membayarkannya di kaunter zakat atau dalam talian," terangnya.

Terdapat lapan golongan asnaf yang akan menerima zakat antaranya fakir, miskin, amil, mualaf, al-riqab, al-gharimin, golongan fisabilillah (pihak melibatkan diri dalam aktiviti dakwah Islam) dan ibnu sabil (musafir terputus bekalan dalam perjalanan).

Kesimpulannya bayaran zakat ini sama dengan pangkas pokok. Harta akan menjadi lebih baik dan semakin bertambah. Insya-ALLAH rezeki semakin bertambah apabila ikhlas membantu golongan yang memerlukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram