'Ayah memang tak cakap banyak', hubungan Zaki Yamani–Jamal Abdillah baik-baik saja


  • Hiburan
  • Khamis, 30 Mac 2023

Selain menghadiri kelas tambahan, Zaki Yamani turut mendapat bimbingan daripada guru-guru sebagai persediaan menghadapi SPM tahun ini.

KEMENANGAN Zaki Yamani yang berjaya menggondol gelaran juara program nyanyian Famili Duo musim kedua pada Februari lalu nyata membuka lembaran baharu dalam kerjaya nyanyiannya.

Ini kerana Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 17, sering menerima tawaran persembahan sama ada secara solo atau bergandingan dengan abangnya, Yamani Abdillah.

Kesibukan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada tumpuannya memandangkan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Melihat kepada situasi itu, Zaki memberitahu dia akan cuba menyeimbangkan antara pelajaran dan kerjaya agar kedua-duanya dapat bergerak seiring.

Selain itu, Zaki turut mengakui dia menghadiri kelas tambahan dan mendapatkan bimbingan daripada guru-guru sekiranya tidak dapat hadir ke sekolah.

majoriti2023 (12)

Zaki meletakkan harapan agar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti.

“Syukur selepas kemenangan itu tawaran persembahan itu agak mencurah-curah. Kalau dahulu dalam sebulan kadangkala ada beberapa tawaran sahaja, tetapi sekarang sebulan itu agak penuh sampai sehari ada dua show.

“Tahun ini saya akan ambil SPM, jadi mungkin akan lebih fokus pada pelajaran. Saya tidak cakap berhenti langsung, cuma saya akan tengok jadual agar tidak mengganggu pembelajaran di sekolah.

“Kalau boleh saya ingin pelajaran dan nyanyian itu dapat dilakukan dalam pada masa yang sama. Saya ingin menjaga kesihatan agar kejadian pengsan dahulu tidak berulang,” katanya ketika mengimbau semula kejadian yang berlaku pada tahun lalu.

Waktu itu dia yang sedang menjalani peperiksaan di sekolah pengsan dan dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di Kajang, Selangor ekoran mengalami demam dan semput sehingga mengakibatkan badannya lemah.

majoriti2023 (11)

Biarpun jarang meluangkan masa dengan bapa, namun Zaki mengakui hubunganya dengan Jamal berada dalam keadaan baik sahaja.

Nasihat ayah

Dalam perkembangan lain, Zaki turut berkongsi cerita tentang hubunganya dengan bapa iaitu Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.

Kata Zaki, bapanya bukannya seorang yang ‘banyak cakap’ tidak kira sama ada bertentang empat mata atau perbualan menerusi telefon.

“Hubungan kami macam biasa. Kadangkala berjumpa kadangkala tidak. Sebelum ini kami ada berjumpa sewaktu menjalani rakaman muzik video lagu raya. Waktu itu kami berjumpa dan berbual macam biasa.

“Ayah memang jarang bercakap. Apabila berjumpa pun kurang bercakap, WhatsApp pun kurang. Selepas menang Famili Duo, ayah ada mesej dan menitip pesan buat kami berdua,” jelasnya.

majoriti2023 (10)

Kemenangan dalam Famili Duo membantu Zaki bersama abangnya, Yamani Abdillah melonjakkan kerjaya nyanyian sehingga banyak menerima undangan persembahan.

Zaki mengatakan, Jamal menasihati agar mereka jangan mudah lupa diri dan mengikut resmi padi yang semakin berisi semakin menunduk.

“Panjang juga kata-kata ayah. Tetapi pesanan itu lebih kepada bagaimana untuk membawa diri dalam industri. Dari segi teknik nyanyian itu ayah tidak banyak cakap apa,” ujarnya.

Untuk rekod, Zaki merupakan anak daripada hasil perkahwinan Jamal dengan Fatimaruzahrah Samad.

Sebelum ini Jamal pernah berkahwin tiga kali bersama Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimaruzahrah, tetapi semuanya berakhir dengan penceraian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram