SELAIN internet yang memiliki kelebihan dunia tanpa sempadan, membaca juga sedikit sebanyak memiliki fungsi sama. Kotak imaginasi yang tidak terbatas mampu membuatkan pembaca seperti dapat merasainya sendiri.
Kelebihan jutaan aksara yang menyusun kata bukan sahaja dapat menaikkan semangat seseorang, tetapi kisah dikongsikan turut diambil untuk dijadilan iktibar.
Cerita tentang kepayahan dan kesukaran hidup yang dialami menjadi kekuatan buat individu untuk menzahirkannya dalam bentuk penulisan.
Justeru berikut antara lima buku yang sesuai untuk dibaca tidak mengira sama ada bacaan santai atau mampu dijadikan sebagai ‘booster’ semangat agar jangan mudah mengalah.
Menariknya, buku-buku tersebut mendapat sentuhan istimewa atau ditulis sendiri oleh tuan punya badan sendiri menceritakan tentang kegigihan wanita menguruskan kerjaya dan keluarga.
Finding Me oleh Viola Davis
Buku ini boleh menjadi inspirasi dan pembakar semangat agar jangan mudah mengalah dalam mengharungi kehidupan.
Tulis oleh aktres Viola Davis yang merupakan seorang pelakon kulit hitam yang berjaya di Hollywood.
Buku ini mengisahkan tentang bagaimana dia berusaha untuk bergelar pelakon dan pengorbanan yang perlu dilakukan demi mengejar cita-cita. Bukan dunia glamor yang menjadi idaman, tetapi Davis ingin menjadikan kerjaya itu sebagai medium agar masyarakat dapat ‘mendengar’ suara dan pandangan tentang ketidakadilan terhadap perbezaan rakyat kulit putih dan hitam di Amerika Syarikat.
Buku Finding Me juga berjaya mencatat kejayaan apabila dinobatkan sebagai Buku Audio Terbaik, Penceritaan dan Naratif Rakaman di Anugerah Grammy 2023.
The Vanity Fair Diaries oleh Tina Brown
Buku ini menceritakan tentang seorang wartawan dan penulis kisah selebiriti antarabangsa popular, Tina Brown.
Brown yang berkhidmat dengan majalah hiburan terkenal, The Vanity Fair. Buku ini menceritakan tentang bagaimana Brown menjalani kehidupan dengan percikan glamor di samping bersahabat dengan beberapa artis terkenal dunia.
Kesibukan kerjaya itu, Brown tetap memberi tumpuan kepada keluarga terutama membesarkan dua cahaya matanya.
Bagi yang meminati dunia penulisan dan kewartawanan majalah, buku sesuai untuk dijadikan sebagai galakkan dan motivasi untuk berjaya.
My Life So Far oleh Jane Fonda
Bagi yang pernah menonton filem Monster In Law dan Book Club, tentu mengenali figura dan ikon fesyen era 1960-an, Jane Fonda.
Diceritakan dalam buku ini tentang bagaimana Fonda mendapatkan keyakinan diri setelah mendapat khabar kematian ibunya yang meninggal dunia akibat bunuh diri sewaktu dia berusia 12 tahun.
Sejak kecil Fonda amat meminati dunia seni. Sebelum menceburi bidang lakonan dan model, dia terlebih dahulu mendapat pendidikan di sebuah sekolah tarian di Pulau Fire Pines, New York, Amerika Syarikat.
Biarpun datang daripada keluarga berada dan berdarah seni, Fonda tidak menjadikan itu sebagai alasan dan berusaha keras untuk berjaya dalam kerjayanya.
Segala itu diceritakan dengan kemas dan penuh emosi. Kata editor majalah Vogue, penceritaan buku tersebut yang menyentuh hati.
Becoming oleh Michelle Obama
Buku mengenai isteri kepada Presiden ke-44 Amerika Syarikat, Barack Obama iaitu Michelle Obama.
Tentu sahaja buku ini menceritakan tentang peranan Michelle sebagai isteri kepada tokoh politik berpengaruh dunia.
Mengtengahkan penceritaan yang bersahaja, buku yang dihasilkan oleh Michelle ini sarat dengan emosi.
Kekemasan gambaran tentang masa dan emosi membuatkan pembaca berasa dekat dengan diri beliau.
Is Everyone Hanging Out Without Me? oleh Mindy Kaling
Perkembangan kerjaya seni pelakon, pelawak, dan pengarah Mindy Kaling bukanlah mudah seperti yang dilihat berdasarkan kejayaan yang diraihnya.
Kaling merupakan anak daripada pasangan migran dari India. Ibunya Swati Chokalingam seorang pakar obstetrik dan ginekologi manakala bapanya, Avudaiappan Chokalingam pula berkhidmat sebagai arkitek.
Dalam buku ini Kaling kongsikan perjalanan seninya daripada seorang yang pemalu mampu menceburi lapangan seni hiburan.
Biarpun kedua-dua ibunya bapanya memiliki kerjaya profesional, namun Kaling tetap dianggap sebagai minoriti di Amerika Syarikat.
Berbekalkan pengalaman, Kaling menghasilkan buku dan menjadi antara naskhah paling laris pada 2011. Dia juga terkenal dengan nasihat dan kata-kata semangat tentang bagaimana cara untuk menukar halangan menjadi peluang.
Bagi yang inginkan bahan bacaan yang dapat dijadikan sebagai inspirasi, buku amat sesuai untuk dibaca sekali gus melakukan perubahan dalam hidup.
Kaling diiktirafkan oleh majalah Time sebagai antara 100 individu paling berpengaruh di dunia pada 2013 dan menerima Pingat Seni Kebangsaan oleh Presiden Amerika Syarikat ke-46, Joe Biden Mac 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram