PENGARAH popular, Syamsul Yusof enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung isu tidak mahu menceraikan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Sebaik prosiding berakhir, Syamsul keluar dari dewan mahkamah dan terus menuju ke arah lif bersama peguamnya, Roshdan Sujak.
Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39, tidak memberi sebarang kenyataan dan membisu apabila ditanya mengapa tidak menceraikan dan dakwaan memikul Puteri Sarah dua tahun lalu.
Sementara itu, Roshdan ketika berhujah di mahkamah berkata, setakat ini Syamsul tidak mahu menceraikan Puteri Sarah kerana masih melihat ada sinar untuk memperbaiki hubungan dan perkahwinan mereka
"Masih ada sinar untuk pasangan ini. Pihak kami tidak setuju pelantikan hakam untuk kes perceraian ini,” jelasnya.
Terdahulu, Puteri Sarah dan Syamsul diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
Sebelum ini, pada 16 Januari lalu, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Terdahulu, Puteri Sarah nekad memfailkan tuntutan cerai selepas kemelut rumah tangga mereka sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik.
Syamsul juga membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua pada awal tahun ini.
Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram