Ira Kazar, bapa dan kakak mungkin berdepan hukuman penjara, denda — Peguam


Syamsul Yusof berkahwin dengan anak pelakon veteran, Kazar Saisi iaitu Ira Kazar pada 6 Januari lepas.

ISTERI kedua pengarah Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar berkemungkinan akan berdepan tindakan undang-undang kerana melanggar perintah mahkamah secara terang-terangan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Puteri Sarah Liyana, Datuk Akberdin Abdul Kader selepas anak guamnya membuat permohonan tuntutan cerai di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada Isnin.

Menurut Akberdin, pihaknya akan mengambil tindakan lanjut susulan tindakan Ira Kazar dan beberapa ahli keluarganya didakwa melanggar perintah injuksi interim seperti yang telah difailkan tahun lalu.

“Tindakan berikutnya, kami akan mulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ira Kazar, bapa (Kazar Saisi) dan kakaknya (Yasmin Kazar) kerana secara terang-terangan melanggar perintah injuksi yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil sebelum ini.

“Perintah itu kekal sehingga hari ini, tetapi mereka tidak patuh. Kita akan memohon mahkamah untuk jatuhkan hukuman penjara dan denda. Ia adalah mengikut budi bicara Mahkamah Sivil. Kita turut akan tunjukkan jenis-jenis perlanggaran yang telah dilakukan," katanya kepada wartawan ketika ditemui di pekarangan mahkamah Jalan Duta pada Isnin.

Akberdin turut menyifatkan tindakan defendan amat dahsyat kerana sudah melanggar inter-parte (perintah injunksi kedua-dua belah pihak).

“Pelanggaran perintah kali ini memang agak dahsyat. Mereka sepatutnya tidak boleh mendekati Syamsul, tetapi kali ini agak berlebihan apabila mereka pula berkahwin di luar negara tanpa mendapat izin mahkamah di sini,” jelasnya.

Pada 28 Jun tahun lalu, Puteri Sarah selaku plaintif menerusi peguamnya menyerahkan perintah injuksi interim kepada pihak defendan (Ira Kazar).

Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 24 Jun 2022 agar defendan berhenti meluah atau menyebarkan apa-apa bentuk gangguan di media sosial atau mana-mana platform sama ada dirinya atau yang berkaitan dengan dirinya.

Perintah terbabit turut memastikan tiada lagi gangguan dalam keadaan semasa terhadap Puteri Sarah.

Puteri Sarah nekad untuk memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu gagal menemui jalan terbaik.

Permohonan cerai tersebut difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Terdahulu Syamsul mengaku bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua di Thailand baru-baru ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram