PELAKON dan pengarah Syamsul Yusof akhirnya menamatkan ‘drama’ rumah tangganya apabila mengaku sudah berkahwin dengan Ira Kazar.
Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39, mengesahkan dia kini bergelar suami kepada Ira atau Faghirah Kazaruddin di Thailand pada Jumaat.
“Saya sudah menikah secara sah dengan Ira dan nikah di Thailand. Ada sebab saya nikah di sini.
“Untuk mengelakkan fitnah kepada mereka yang mengadakan apa pun sebelum itu, saya menikah hari ini,” katanya.
Berita tersebut dikongsikan oleh bapa kepada dua cahaya mata itu di Instagram pada Jumaat.
Dalam pada itu Syamsul turut meminta isterinya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamruddin agar pulang ke rumah untuk membincangkan mengenai rumah tangga mereka.
Dia juga meminta agar tidak menghebohkan perkara tersebut dan menyelesaikan masalah rumah tangga mereka secara tertutup.
“Puteri Sarah masih isteri saya. Pada isteri saya pulanglah ke rumah dan tidak perlu hebah ke media sosial. Bawa anak kita balik, kita bincang di rumah, tanpa aibkan sesiapa.
“Bawa anak ke sana ke mari, tanpa izin suami. Kita bincang dan tidak perlu aibkan sesiapa. Fitnah seolah-olah saya tidak memberi nafkah. Yang sudah itu sudah. ” ujarnya.
Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu juga memohon restu keluarga ke atas perkahwinan dengan Ira.
“Pada keluarga saya tidak pernah terlintas membelakangkan keluarga. Saya minta doa yang baik-baik daripada keluarga saya.
“Saya harap keputusan ini mendapat rahmat ALLAH dan dijauhi daripada hasad dengki. Perkahwinan ini sah di sisi syarak.
“Saya bukan manusia sempurna kadang-kadang buat kesilapan. Kita semua manusia dan saya hanya bergantung kepada ALLAH,” katanya.
Untuk rekod Syamsul berkahwin dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam dan Sumayyah.
Berita hubungan Syamsul dengan Ira hangat diperkatakan sejak dua tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram