PELAKON Puteri Sarah Liyana, isteri pertama pengarah, Syamsul Yusof mengakui berasa lega setelah urusan memfailkan cerai selesai di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada Isnin.
Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 37, memberitahu, dia menyerahkan segala urusan kepada mahkamah untuk diselesaikan.
Katanya, dia reda dengan apa yang berlaku kerana sudah cuba mempertahankan rumah tangga yang dibina sejak sembilan tahun lalu.
"Saya lega sudah failkan cerai. Saya tidak sedih, saya seorang wanita yang kuat kerana saya ada ibu bapa, keluarga dan saya ada ALLAH," katanya ketika ditemui di mahkamah.
Sarah juga memberi reaksi sebutan kes pertama pada 7 Mac depan memberi satu signifikan sebagai tarikh perkahwinannya pada 8 Mac 2014.
"Tarikh yang mahkamah berikan pada 7 Mac sangat signifikan kerana tarikh perkahwinan kami pada 8 Mac dan tahun ini genap sembilan tahun perkahwinan.
"Syamsul juga sudah tidak menyekat saya. Kami ada berhubung pada saat-saat akhir ini, tetapi maaf butiran lanjut saya tidak kongsikan.
"Saya tidak kisah jika perbicaraan mengambil masa yang lama. Saya bagaimanapun berasa lega setelah memfailkan cerai hari ini," jelasnya.
Sarah turut mengakui tidak bertemu dengan Syamsul kerana sibuk dengan aktiviti kerjaya masing-masing.
Sementara itu, Sarah turut merancang untuk melakukan umrah pada 26 Januari depan.
"Saya akan berangkat ke Tanah Suci dan harap dapat menunaikan umrah dengan tenang. Saya tidak mahu memikirkan perkara ini dan hanya ingin fokus menunaikan ibadah," ujarnya.
Sarah yang hadir ke mahkamah ditemani dua adiknya dan peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader.
Pergolakan rumah tangga pasangan itu hangat diperkatakan sejak 2021, namun Sarah sebelum ini mengakui rumah tangga mereka mula bermasalah sejak empat tahun lalu.
Untuk rekod Syamsul dan Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 serta mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Summayyah 4. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram