Ira Kazar, keluarga bakal berhadapan prosiding hina mahkamah


Puteri Sarah (tengah) ditemani ahli keluarga ketika tiba di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 16 Januari.

MAHKAMAH Sesyen memberi kebenaran kepada pelakon Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin untuk memulakan prosiding komital (proses undang-undang terhadap pihak yang ingkar) terhadap Ira Kazar dan ahli keluarganya, termasuk pelakon veteren Kazaruddin Saisi atau dikenali sebagai Kazar.

Hakim Sesyen Norakhmar Mohd Sani mengesahkan kebenaran itu semasa pengurusan kes pada Selasa kepada peguam Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Ekoran pendedahan perkahwinan Ira dengan pelakon dan pengarah terkenal, Syamsul Yusof bulan lepas, Puteri Sarah memfailkan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Ira atau Faghira Fatini termasuk ayahnya Kazaruddin atas dakwaan melanggar injuksi mahkamah.

Menurut Akberdin, pihaknya akan menyampaikan semua salinan permohonan komital yang diperlukan kepada Ira, Yasmin kakaknya dan Kazar.

"Sebaik sahaja tarikh perbicaraan ditetapkan, mereka perlu hadir ke mahkamah dan menunjukkan sebab berhubung dakwaan pelanggaran injuksi tersebut," kata Akberdin.

Ibu kepada dua anak itu memfailkan notis permohonan komital secara ex-parte (sebelah pihak) terhadap mereka atas dakwaan dengan sengaja mengingkari perintah injuksi.

Puteri Sarah mendakwa dia menerima gangguan dan ugutan daripada Ira melalui media sosial dan perintah injuksi tersebut adalah sebahagian daripada saman yang difailkan olehnya pada 4 Julai 2022.

Puteri Sarah, 38, berjaya memperoleh perintah injuksi daripada mahkamah bagi menghalang Ira atau yang berkaitan daripada mengganggu dan menjejaskan ketenteraman serta kedamaian Puteri Sarah, suaminya, keluarganya dan keluarga mentua.

Pada 6 Januari lalu, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39, memuat naik video pengakuan di Instagram sudah berkahwin dengan Ira di Thailand.

Ibu kepada Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4, itu memfailkan permohonan cerai dengan Syamsul di Mahkamah Rendah Syariah dan sebutan kes ditetapkan pada 7 Mac di hadapan Hakim Syarie Akmalludin Ilyas. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram