Puteri Sarah dedah pernah dipukul, Syamsul enggan ceraikan isteri pertama


  • Hiburan
  • Selasa, 07 Mac 2023

Syamsul hadir ke mahkamah dan enggan melafazkan cerai terhadap isteri pertama Puteri Sarah.

PELAKON Puteri Sarah mengharapkan Syamsul Yusof melepaskannya (menceraikan) kerana dia sudah tidak mencintai suaminya.

Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, berkata demikian ketika hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada Selasa.

Puteri Sarah turut mendakwa di hadapan hakim pernah dipukul oleh Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39, pada 2020 dan membuat keputusan untuk keluar rumah.

Bagaimanapun disebabkan masih mempunyai perasaan sayang, Puteri Sarah tidak membuat sebarang laporan polis atau mengulas mengenai kejadian itu.

“Masa itu tak buat (laporan) sebab sayang. Bila orang kata saya buka aib ketika itu, saya tak nak buat apa-apa tindakan atau buat laporan polis. Malah tiada siapa yang tahu mengenai itu.

“Yang selamatkan saya ketika itu ialah ibu mentua saya. Dia yang keluarkan saya daripada rumah pada tiga tahun lalu. Malah, Syamsul pun tahu kenapa (keluar rumah),” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, insiden dipukul itu merupakan salah satu sebab anak guamnya keluar dari rumah.

“Dipukul antara fakta mengapa Sarah membuat keputusan keluar rumah. Kami kemukakan fakta ini selepas Syamsul menuduh anak guam saya nusyuz bertindak keluar dari rumah.

“Jadi pihak kami perlu memberikan penerangan kepada mahkamah apa yang sebenarnya berlaku dan selepas itu Sarah kembali ke rumah atas sebab jasa baik pihak keluar mentua.

“Syamsul membuat andaian dan gambaran bahawa anak guam saya yang keluar ke rumah tanpa izin. Itu tidak betul sebab anak guam saya ada asas,” terangnya.

WhatsApp Image 2023-03-07 at 11.47.25 AM

Puteri Sarah keluar dari dewan mahkamah bersama peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengarahkan Puteri Sarah dan Syamsul Yusof untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi permohonan perceraian mereka selepas Syamsul memaklumkan enggan menceraikan isteri pertamanya itu.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Pada prosiding itu, Puteri Sarah diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul peguam syarie Roshdan Sujak.

Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Konflik rumah tangga pasangan itu mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi Syamsul tidak pernah membuka mulut mengenainya.

Bagaimanapun, pada Januari lalu, Syamsul akhirnya mengaku sudah bernikah dengan orang ketiga yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangganya bersama Puteri Sarah iaitu Ira Kazar.

Keputusan jawatankuasa pendamai akan diketahui pada 10 April.

Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul telah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 5. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram