'Iron Man' daki Gunung Kinabalu 7 jam bawa misi kesedaran penyakit otot ganjil


Jayasuriya mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk membuat pendakian Gunung Kinabalu dengan mengenakan sut Iron Man, baru-baru ini. — Ihsan Jayasuriya

MENGENAKAN sut adiwira Iron Man tidak menghalang deejay dan pengacara, Yohan Charles Jayasuriya, 41, untuk menakluki gunung tertinggi di Malaysia.

Jayasuriya adalah salah seorang daripada 13 pendaki yang mendaftar untuk penyertaan Ekspedisi Tahunan Coalition Duchenne ke-10 Gunung Kinabalu pada 24 Julai lalu.

Pendakian mendaki Gunung Kinabalu yang juga gunung tertinggi di Asia Tenggara itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pembiayaan bagi penyakit Duchenne muscular dystrophy (DMD), iaitu sejenis penyakit ganjil berkaitan otot.

"Ini adalah percubaan kedua saya untuk mendaki Gunung Kinabalu dengan mengenakan sut Iron Man.

"Percubaan pertama saya adalah pada tahun 2020, apabila saya ingin mengumpul dana untuk golongan malim gunung Gunung Kinabalu yang kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik.

"Malangnya, saya tidak dapat sampai ke puncak kerana cuaca buruk," kata Jayasuriya.

Pertubuhan Coalition Duchenne yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat diasaskan oleh ibu saudara Jayasuriya, Catherine Jayasuriya yang juga seorang penerbit filem kelahiran Sabah.

Anak lelaki Catherine, Dusty Brandom, 29, disahkan menghidap penyakit itu pada 1990-an.

"Saya sangat teruja kerana sekali lagi dapat mendaki Gunung Kinabalu dalam kostum Iron Man. Kali ini, ia lebih bermakna, kerana saya melakukannya untuk sepupu saya," kata Jayasuriya, yang memakai kostum itu sepanjang pendakian dan penurunannya.

Dia mengambil masa kira-kira empat jam untuk sampai ke Laban Rata, dan tiga jam lagi untuk sampai ke puncak pada pagi berikutnya.

Lelaki tersebut mengakui tugas mendaki gunung dengan sut yang beratnya kira-kira tiga kilogram itu, bukan satu kerja mudah.

Hero with a heart: Jayasuriya was one of the 13 climbers who signed up for Coalition Duchenne's 10th Annual Expedition Mt Kinabalu to raise awareness of Duchenne muscular dystrophy. — YOHAN CHARLES JAYASURIYA

Jayasuriya (depan, kiri) bersama 13 pendaki lain yang menyertai Ekspedisi Tahunan Coalition Duchenne ke-10 Gunung Kinabalu pada 24 Julai lalu. — Ihsan Jayasuriya

"Pergerakan saya agak terhad dalam sut berperisai penuh ini selain sukar untuk berjalan di atas permukaan licin.

"Bahagian paling sukar ialah menaiki denai ke Low's Peak dalam kegelapan. Untuk menambah pencahayaan, saya menggunakan lampu suluh kepala.

"Saya juga bergantung pada arc reactor (bebola bercahaya pada sut Iron Man) sebagai lampu," kata Jayasuriya.

Bagi memanaskan badan, dia mengenakan pakaian bersesuaian di bahagian dalam sut selain menggunakan kasut mendaki untuk pendakian yang lebih selesa dan selamat.

Jayasuria yang berpengalaman mendaki Gunung Kinabalu sebanyak 12 kali berkata, untuk mempersiapkan setiap pendakian, dia akan mendaki Bukit Padang di Kota Kinabalu, berjoging dan melakukan latihan otot.

Dia merancang untuk menjejakkan kaki di Kem Pangkalan Everest pada tahun depan sebagai usaha bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang DMD.

Sudah tentu rancangan itu mahu direalisasikan Jayasuriya dengan mengenakan sut Iron Man.

Jayasuriya used his sturdy hiking shoes instead of his regular cosplay shoes for a more comfortable (and safer) climb. — YOHAN CHARLES JAYASURIYA

Tugas mendaki gunung dengan sut yang beratnya kira-kira tiga kilogram, bukan satu kerja mudah. — Ihsan Jayasuriya

"Buat masa ini, saya berehat kerana masih belum pulih daripada pendakian Gunung Kinabalu baru-baru ini.

"Jadi selepas itu, saya akan meneruskan latihan untuk cabaran seterusnya," kata bapa kepada seorang anak lelaki berusia 10 tahun itu.

Selain Iron Man, Jayasuriya turut memiliki koleksi sut adiwira Marvel lain termasuk Spiderman.

Dia juga mempunyai sut Transformers dan Power Rangers dalam simpanannya namun mengakui sut Iron Man menjadi kegemarannya.

"Watak Tony Stark, yang dikenali sebagai Iron Man menjadi inspirasi dan mencerminkan diri saya dalam banyak cara.

"Kadangkala saya terlalu yakin tetapi perkara yang baiknya ialah saya sentiasa menyelesaikan tugas yang diberikan," kata Jayasuriya, yang merancang untuk mengemukakan kejayaan mendaki Gunung Kinabalu dalam sut Iron Man kepada Malaysia Book of Records. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram