Jangan sekat, beri ruang anak muda berkarya — Andy Flop Poppy


  • Hiburan
  • Isnin, 01 Ogos 2022

Anggota Flop Poppy (dari kiri) Ejam, Areef, Bakri, Edy dan Andy.

BARU-BARU ini, kecoh dalam kalangan peminat muzik indie apabila Angkasa Space, satu lokasi gig yang sering tumpuan diserbu pihak berkuasa.

Lokasi itu juga sebelum ini telah menaikkan nama puluhan penyanyi dan kumpulan muzik independant dalam industri muzik negara.

Pihak penganjur mendakwa mereka perlu menyediakan wang deposit sebanyak RM30,000 untuk memohon lesen hiburan bagi setiap gig yang ingin dianjurkan dan jumlah itu disifatkan terlalu besar.

Disebabkan itu lokasi yang cukup dekat dengan peminat muzik indie itu terpaksa disita dan diarah tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

WhatsApp Image 2022-08-01 at 11.25.05 AM

Flop Poppy juga satu ketika dahulu menggunakan gig sebagai tempat untuk memperkenalkan muzik mereka.

Menjadi antara kumpulan yang bermula dari bawah, vokalis kumpulan Flop Poppy, Andy mengakui gig adalah satu daripada tempat untuk mereka bertapak memperkenalkan diri.

"Zaman kami lebih 20 tahun dahulu tiada terma indie ini pun. Masa itu digelar underground. Setiap kali show mesti akan dibuat di lokasi yang berskala kecil sebab itu sahaja mampu.

"Tetapi daripada situ yang kami mula menapak membina nama dalam industri tempatan. Malah, selepas kami juga muncul beberapa nama band besar seperti Meet Uncle Hussain, Hujan dan lain-lain," katanya kepada Majoriti.

Andy juga menegaskan bahawa pihak tertentu sepatutnya membantu golongan muda untuk menampilkan muzik mereka, sekali gus menaikkan nama negara.

WhatsApp Image 2022-08-01 at 11.24.02 AM

Andy (tengah) mengakui negara mempunyai tempat belajar muzik tetapi tiada tempat untuk bermain muzik.

Jelasnya, sejak Flop Poppy beraksi di underground sehingga kini, dia melihat kesusahan yang sama terpaksa dilalui golongan pemuzik muda dan tiada perubahan yang berlaku.

"Kita ambil contoh Korea Selatan. Tiada siapa yang tahu bahasa mereka tetapi satu dunia ikut muzik dan kesenian mereka.

"Mereka tahu bahasa sukar difahami, jadi mereka jual style. Ditambah pula dengan bantuan daripada pihak tertentu yang mengembangkan lagi pengaruh mereka sekali gus memberi keuntungan kepada negara," katanya.

Tambahnya, kalau boleh jangan sekat golongan muda untuk menampilkan bakat mereka, sebaliknya beri ruang untuk mereka terus berkarya.

Flop Poppy mahu kekal eksklusif

Kali terakhir Flop Poppy membuat konsert adalah pada empat tahun lalu dan kini, Flop Poppy muncul semula dengan konsert terbaharu mereka Flop Poppy Masih...Tour.

Menurut Andy, konsert itu yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 6 Ogos depan.

"Sebenarnya kami masih aktif buat persembahan tapi yang kecil sahajalah. Malah, sepanjang empat tahun pun kami menerima banyak permintaan untuk adakan konsert.

"Sebenarnya ini bukan comeback. Sebab kita semua aktif lagi bermain muzik. Jadi tiada masalah untuk kami terus adakan konsert walaupun perancangan dibuat pada awal Julai," katanya.

WhatsApp Image 2022-08-01 at 12.50.21 PM (1)

Flop Poppy akan mengadakan konsert pada 6 Ogos depan di PICC.

Jelasnya lagi, untuk konsert tersebut mereka akan membawa lebih 20 buah lagu.

"Sebenarnya kalau ikutkan kira-kira 17 buah lagu kita telah dimainkan di radio jadi memang orang familiar dengan lagu-lagu Flop Poppy.

"Jadi semasa konsert itu akan jadi persembahan yang sing a long," katanya.

Dalam pada itu, Andy juga berkata, dia mahu mengekalkan Flop Poppy sebagai sebuah band yang eksklusif untuk konsert.

Jelasnya, Flop Poppy masih aktif membuat persembahan tetapi tidak berskala besar dan lebih tertutup.

"Kalau boleh biarlah Flop Poppy kekal eksklusif untuk konsert sahaja. Sebab itu ramai yang jarang nampak kami, tetapi sebenarnya masih ada," katanya.

Maklumat lanjut berkenaan tiket boleh melayari laman sesawang www.ilassotickets.com. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram