Enggan anak masuk Islam, ibu tunggal dibenar cabar penukaran agama


Loh memohon deklarasi bahawa bekas suaminya tidak layak secara sah untuk mengislamkan anak-anak mereka.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan ibu tunggal, Loh Siew Hong, untuk kebenaran melakukan semakan kehakiman bagi mendapatkan deklarasi bahawa, bekas suaminya tidak layak secara sah untuk mengislamkan anak mereka.

Memetik laporan FMT, Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, aduan Loh mempunyai merit untuk didengar mahkamah.

"Permohonannya untuk mendapat kebenaran tidak remeh, sebaliknya kesnya boleh dipertahankan," kata hakim ketika menyampaikan keputusannya menerusi prosiding dalam talian.

Wan Ahmad berkata, Loh juga tidak kesuntukan masa apabila memfailkan permohonan kebenarannya secara "berhati-hati".

Salah satu responden, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diwakili peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla, meminta mahkamah menolak permohonan Loh kerana pertukaran agama itu dilakukan pada 2020.

Hakim berkata, peguam Loh telah menulis kepada pendaftar mualaf pada 4 Mac tahun ini untuk memastikan penukaran agama itu.

Katanya, permohonan kebenaran yang difailkan pada 25 Mac tahun ini, selepas mendapat jawapan, dibuat dalam tempoh yang wajar.

Permohonan untuk kebenaran semakan kehakiman mesti difailkan dalam tempoh 90 hari selepas pihak berkuasa memaklumkan keputusannya kepada pihak yang terkilan.

Peguam Kanan Persekutuan Ainul Wardah Shahidan mewakili tiga responden, iaitu pendaftar mualaf, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, yang mewakili Peguam Negara Idrus Harun, tidak membantah kebenaran yang dimohon oleh Loh.

Dalam permohonannya, Loh berkata, anak-anaknya, yang nama dan gambarnya tidak boleh disiarkan susulan perintah larangan oleh Mahkamah Tinggi, telah ditukar agama pada 7 Julai 2020.

Peguam Loh, A Srimurugan, berhujah bahawa, anak guamnya hanya mengetahui tarikh sebenar penukaran agama anak-anaknya selepas mendapat semula hak penjagaan pada 21 Februari tahun ini.

Pada hari itu, hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan habeas corpus Loh untuk mendapatkan semula hak penjagaan daripada pendakwah, Nazirah Nanthakumari Abdullah.

Srimurugan berkata, peguam pembantu Shamsher Singh Thind telah menulis kepada pendaftar mengenai status penukaran agama itu, sejurus selepas Sequerah membuat penghakiman.

Loh juga memohon deklarasi bahawa peruntukan dalam enakmen negeri Perlis, yang membenarkan ibu atau bapa menukar agama anak bawah umur secara unilateral bercanggah dengan berperlembagaan.

Beliau juga mahukan deklarasi bahawa anak kembar perempuannya dan anak lelakinya beragama Hindu dan secara sah tidak berupaya untuk memeluk Islam tanpa kebenarannya.

Loh berhujah bahawa, beliau telah memperoleh perintah mahkamah sivil yang memberikannya hak penjagaan, penjagaan dan kawalan terhadap anak-anaknya pada 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram