Juara Olimpik antara 3 pelumba cedera akibat rempuhan trek


  • Podium
  • Isnin, 01 Ogos 2022

Kemalangan berlaku di trek basikal Lee Valley VeloPark, apabila Matt Walls (kiri, atas) dan Derek Gee (kanan) terbabas merempuh kawasan tempat duduk penonton pada Ahad. — Agensi

JUARA Sukan Olimpik Tokyo, Matt Walls, mengadu berasa agak sakit selepas terbabit kemalangan ngeri di Sukan Komanwel Birmingham, awal pagi Ahad.

Pelumba berbasikal trek berusia 24 tahun itu terbabas, lalu merempuh penonton di pusat Lee Valley VeloPark di London.

Walls yang memenangi emas acara omnium di Tokyo tahun lalu memerlukan jahitan di dahinya, tetapi mujur mengelak kecederaan teruk, demikian umum Berbasikal British.

Dia yang mewakili England dibawa ke hospital, selepas insiden mengejutkan itu yang berlaku di jarak 15 kilometer (km) kelayakan scratch.

Dia terlanggar pelumba lain ketika cuba mengelak daripada terbabit dalam rempuhan awal di selekoh itu, lalu hilang kawalan dalam kelajuan tinggi.

Dua peserta lain, Derek Gee, dari Kanada dan pelumba Isle of Man, Matt Bostock, turut dibawa ke hospital sementara dua penonton juga memerlukan rawatan.

Walls menulis di Twitter lewat pada hari Ahad: "Terima kasih semua orang atas mesej dan sokongan! Entah bagaimana saya terlepas daripada ditimpa kecederaan serius, saya hanya memerlukan beberapa jahitan dan berasa agak sakit.

"Saya sangat berharap semua yang terlibat dalam keadaan OK termasuk penonton yang mungkin tercedera." — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram