'Korang mana nak kisah team jadi badut kan? Yang penting setiap bulan RMS bayar gaji'


  • Podium
  • Isnin, 01 Ogos 2022

Kebangkitan saat akhir yang ditampilkan anak buah K. Devan berkesudahan dengan kemenangan diraih Skuad Jang. — Facebook/MFL

PERTEMBUNGAN dramatik antara pasukan Selangor dan Negeri Sembilan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor dihiasi dengan dua jaringan awal oleh pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun kebangkitan saat akhir yang ditampilkan anak buah K. Devan berkesudahan dengan kemenangan diraih Skuad Jang.

Perlawanan pada Ahad, Selangor terus mempamerkan aksi longlai meskipun mereka mendahului dua gol pada rehat separuh masa pertama menerusi jaringan Caion dan Yazan Al Arab.

Kebangkitan Negeri Sembilan bermula pada minit ke-67 apabila sepakan percuma kencang Gustavo Almeida terus menerjah ke jaring gol pasukan tuan rumah.

Bekas pemain import UiTM dari Brazil itu kemudian sekali lagi menghukum benteng Selangor dengan menanduk masuk hantaran dari sepakan percuma Khuzaimi Piee pada minit ke-80.

295653163_459109316097568_1342778062655893776_n

Percubaan berani daripada luar kotak penalti oleh Sean cantik meluru masuk ke gawang Selangor. Facebook/Negeri Sembilan FC

Sean Selvaraj yang masuk sebagai pemain gantian muncul wira buat skuad Jang apabila menjaringkan gol yang cukup menarik pada penghujung perlawanan walaupun pasukannya ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama.

Kekalahan kepada Negeri Sembilan membuatkan kemarahan peminat Selangor sudah berada di tahap maksima dan mereka menggesa agar perubahan segera dilakukan oleh pengurusan pasukan jika mahu pasukan untuk kembali ke prestasi terbaik.

Menerusi hantaran laman Instagram @selangorfans_official, mereka menegur pihak pengurusan Gergasi Merah yang hanya tahu menabur janji manis dan tiada tindakan drastik dilakukan apabila pasukan sedang mengalami prestasi yang teruk.

296849330_470599335071800_5036227043308275533_n

Pada minit ke-67 sepakan percuma kencang Gustavo Almeida terus menerjah ke jaring gol pasukan tuan rumah. Facebook/Selangor FC

"Hello pengurusan @selangorfc, mungkin ini yang korang nak tengok? Selangor yang dikenali kelab gergasi semakin jatuh dan terus jatuh, yang tahu cuma pandai menabur janji manis setiap musim.

"Game demi game makin teruk, tapi korang berdiam diri sahaja, tiada tindakan langsung, kata perlaburan besar tapi hasil macam ini? Ego sebab tak nak rasa perlaburan ini gagal, tolong bertindak cepat! bagi MF out sekarang," tulisnya di Instagram merujuk kepada pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner.

Manakala di ruangan komen pula, rata-rata penyokong setuju dengan hantar yang dimuat naik oleh laman Instagram tersebut dan mereka mahukan perubahan segera dilakukan sebelum terlambat.

"Nak cakap baik-baik tak jalan, tak nak dengar elok penyokong ini elok maki sahaja hari-hari. Kita nak turun support pun dah jadi menyampah, makin lama makin teruk," kata @cikiqa87.

"Siapa-siapa ada masa itu jom kumpul ramai-ramai melawat FASTC (pusat latihan Selangor FC) mungkin masa itu pihak pengurusan ada masa untuk borak-borak," jelas @adifumi.

"@selangorfc korang mana nak kisah team jadi badut ke apa kan? Yang penting tiap-tiap bulan RMS bayar gaji korang, entah kenapa saya terpanggil dengan kata-kata TMJ sebelum ini," ujar @___mekky.

"Masih nak simpan Michael Feichtenbeiner and team? Korang buta ke apa? Semua duduk diam sahaja tak ada apa-apa tindakan lebih baik rombak pasukan ataupun kami ini penyokong yang akan turun rombak sendiri management," luah @roseliariff.

Selepas mengharungi 14 perlawanan, Negeri Sembilan pada ketika ini berada di tangga ketiga dengan 26 mata hasil tujuh kemenangan, lima keputusan seri dan dua kekalahan manakala Selangor yang kekurangan satu perlawanan mengumpul 16 mata untuk menghuni kedudukan keenam dalam carta Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram