
SIAPA yang tidak kenal dengan figura penyanyi Dayang Nurfaizah.
Pengalaman Dayang dan kemampuan vokalnya meletakkan dia dalam kelasnya yang tersendiri.
Namun baru-baru ini, Dayang memilih untuk berduet dengan seorang penyanyi yang jauh lebih muda pengalamannya iaitu Amir Masdi menerusi lagu berjudul Debu.
Menurut Dayang, tiada dalam kamus kerjayanya yang memerlukan dia untuk memilih penyanyi tertentu sebagai rakan duet.
Malah, jauh sekali dia memandang populariti sebagai syarat jika ingin berduet dengan seseorang penyanyi lain dalam lagu.
"Saya selalu cakap, saya tak pilih nak berduet dengan siapa. Apa yang penting adalah kesesuaian lagu sebab dua suara kena saling memberi.
"Daripada segi populariti penyanyi itu bukan keutamaan. Bagi saya adalah suara, bakat dan lagu. Itu nombor satu.
"Macam Amir, dia pun secara perlahan-lahan membina kerjaya nyanyiannya. Dia muda dan jauh lagi perjalanan dalam bidang ini.
"Kita kena fikir bakat dan suara yang dimilikinya. Itu yang akan bawa dia jauh. Tak perlu nak cepat popular pun," katanya dalam satu sidang media secara maya baru-baru ini.
Menurut Dayang, Amir mengingatkan dirinya saat dia mula-mula bertapak dalam dunia nyanyian.
"Saya keluar semata-mata kerana bakat. Jadi, kalau betul cara dia, insya-ALLAH boleh kekal lama dan pergi lebih jauh. Paling penting, fokus apa yang kita ada," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram