30,644 kes baharu Covid-19 dicatat pada Jumaat


  • Primer
  • Sabtu, 26 Feb 2022

DARIPADA kesemua kes harian yang dilaporkan pada Jumaat, 30,488 kes adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 156 kes lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

MALAYSIA mencatatkan 30,644 kes baharu Covid-19 pada Jumaat, menurun berbanding 32,070 kes yang dicatatkan pada Khamis.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini meningkat kepada 3,367,871 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, kes sembuh pada Jumaat adalah sebanyak 22,678 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh meningkat kepada 3,040,850 kes.

Daripada keseluruhan jumlah kes baharu pada Jumaat, Noor Hisham berkata, 30,387 kes adalah jangkitan tempatan manakala 257 merupakan kes import.

"Daripada kesemua kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 30,488 kes adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 156 kes lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Tambah beliau, sehingga 25 Februari 2022, seramai 332 pesakit memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, 196 kes memerlukan bantuan pernafasan, jelasnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sebanyak lima kluster baharu dikenal pasti pada Jumaat, dengan jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 498.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram