Gagal dapat upah jaga parkir RM50 sehari, ibu kelar anak guna pisau cukur


  • Benua
  • Ahad, 27 Feb 2022

MANGSA ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik selepas diseksa ibunya jika gagal membawa balik upah RM50 sehari. — Agensi

SEORANG budak 11 tahun dari Bandar Lampung, Indonesia dipaksa ibunya menjadi penjaga parkir di sebuah pasar mini dan akan diseksa jika gagal membawa pulang 200,000 rupiah (RM58.60) sehari.

Ketua Suruhanjaya Kebangsaan Perlindungan Anak (PA) Bandar Lampung, Ahmad Apriliandi Passa mendedahkan, pihaknya menerima laporan kes itu daripada seorang pekerja pasar mini di kawasan Teluk Betung Selatan, Bandar Lampung.

Dalam laporannya kepada Pejabat Pemberdayaan, Perlindungan Wanita dan Anak (PPPA) Bandar Lampung, pekerja tersebut memberitahu, ibu kepada kanak-kanak malang itu akan mengelar tangan mangsa jika dia gagal membawa pulang wang.

Bertindak daripada laporan tersebut, kanak-kanak itu segera diselamatkan dan perbuatan zalim wanita berkenaan dilaporkan kepada Ibu Pejabat Polis Bandar Lampung.

"Kanak-kanak ini menderita penyeksaan dalam bentuk keganasan fizikal.

"Beberapa badannya dikelar menggunakan pisau cukur termasuk paha, tangan dan badan," kata Ahmad Apriliandi seperti dipetik Kompas.com.

Beliau berkata, mangsa ditempatkan di sebuah rumah perlindungan untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Polis Bandar Lampung, Komisaris Devi Sujana berkata, pihaknya masih menyiasat laporan itu.

“Kami masih menyiasat kes ini,” kata Devi ringkas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram