Pantau rasuah, salah guna kuasa PRN Johor, SPRM buka empat bilik gerakan


  • Politik
  • Sabtu, 26 Feb 2022

PEJABAT SPRM Johor antara lokasi bilik gerakan bagi orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada PRN Johor. — SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Sabtu melancarkan empat bilik gerakan di seluruh negeri Johor bagi orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

SPRM dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa, kesemua bilik gerakan tersebut beroperasi dari jam 8 pagi hingga 12 malam sepanjang tempoh PRN itu berlangsung.

Bilik gerakan itu terletak di Pejabat SPRM Johor, Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat, Pejabat SPRM Cawangan Kluang dan Pejabat SPRM Cawangan Segamat.

Selain itu, menurut SPRM, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui aplikasi Whatsapp di talian 010-8414384 atau menerusi emel [email protected].

SPRM juga mengingatkan kepada semua calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menetapkan hari pengundian pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram