PERNAH atau tidak dengar orang tua dulu-dulu pernah berpesan, jangan keluar ketika waktu Maghrib kerana pada waktu itulah banyak syaitan berkeliaran.
Tetapi, masih ada yang tidak mendengar nasihat itu dan selamba saja keluar bersiar-siar ketika senja.
Mungkin, ramai yang berpandangan remeh akan nasihat itu namun sebenarnya dalam Islam ada hadis yang menyatakan akan perihal syaitan berkeliaran ketika terbenamnya matahari.
"Daripada Jabir RA dari Nabi SAW bersabda: 'Apabila menjelang malam ketika terbenamnya matahari, maka jagalah bayi-bayi kamu kerana pada ketika itu syaitan sedang berkeliaran. Jika telah berlalu beberapa ketika daripada waktu Isyak, bolehlah kamu biarkan mereka dan tutuplah pintu rumah kalian dan sebutlah nama ALLAH dan padamkanlah lampu-lampu rumah kamu dan sebutlah nama ALLAH dan tutup tempat minum serta tutup pula bekas (tempat makanan) kamu dan sebutlah nama ALLAH padanya, walaupun kamu hanya sekadar melintangkan sesuatu di atasnya." (HR Bukhari No: 3280)
Pendakwah bebas, Wadi Anuar berkata, pada waktu senja merupakan permulaan bagi waktu malam dan pada ketika itulah syaitan akan memasuki segenap ruang termasuk kediaman manusia sama ada untuk mengganggu khususnya bayi, menggoda atau menumpang makan.
Disebabkan perkara itulah, Rasulullah SAW melarang kanak-kanak bermain di luar menjelang waktu senja.
Berdasarkan hadis di atas, Baginda berkongsi antara amalan yang perlu dilakukan oleh umat Islam menjelang malam, selain daripada jangan berkeliaran pada waktu senja.
"Pastikan anak-anak kita telah pulang ke rumah sebelum masuknya waktu Maghrib atau bagi anak lelaki, dapat bersama ke masjid," katanya.
Malah, Nabi SAW juga menyeru menutup dan mengunci pintu rumah di waktu malam agar rumah tidak dimasuki sebarang binatang buas, dimasuki penceroboh berupa pencuri, penjenayah dan sebagainya.
"Rasulullah memerintah agar menutup bekas minuman dan makanan bertujuan agar makanan yang berbaki dapat dijauhi daripada virus, bakteria, debu, kotoran atau dimasuki sesuatu yang boleh mencemarkan minuman dan makanan tersebut seperti cicak, lipas dan sebagainya," katanya menerusi laman Facebooknya.
Pendakwah terkenal itu juga berkata, menutup bekas makanan itu merupakan sunnah Rasulullah SAW dan merupakan salah satu usaha untuk menjaga kesihatan daripada pelbagai penyakit.
"Perintah menutup pintu, tempat minuman dan makanan dengan menyebut nama ALLAH tidak lain dari memohon perlindungan kepada ALLAH yang menjaga dan memelihara makhluk," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram