Malaysia prihatin konflik Ukraine — Ismail Sabri


  • Primer
  • Sabtu, 26 Feb 2022

ISMAIL Sabri ketika menjawab soalan pada sidang media bersama pengamal media Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Thailand, di Bangkok pada Sabtu. — Bernama

MALAYSIA amat prihatin terhadap peningkatan konflik di Ukraine dan menggesa semua pihak yang terlibat supaya segera mengambil langkah untuk mengurangkan dan mencegah kehilangan nyawa serta kemusnahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa genting ini, setiap usaha perlu dilipatgandakan untuk mencari penyelesaian konflik secara aman dan damai melalui dialog dan rundingan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Malaysia akan terus menyokong usaha sedemikian demi kepentingan mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa, serta menggalakkan kemakmuran yang lebih luas," katanya pada sidang media pada akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Thailand di Bangkok pada Sabtu.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan PBB perlu melaksanakan tanggungjawab utamanya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Kedutaan Malaysia di Kyiv kini menjalankan pemindahan baki lapan warga Malaysia dan dua tanggungan warga asing mereka dari Kyiv.

"Tiga belas warganegara kita telah meninggalkan Ukraine dalam beberapa minggu lalu," katanya.

Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Khamis mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine.

Susulan itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara.

Ukraine juga telah mengumumkan penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam, kerana 'berisiko tinggi' kepada penerbangan awam.

Campur tangan tentera Rusia di Ukraine memasuki hari ketiga pada Sabtu dengan laporan terkini menunjukkan tentera Rusia sedang menuju ke ibu negara, Kyiv, dari beberapa arah.

Putin mengarahkan campur tangan tentera pada Khamis, beberapa hari selepas mengiktiraf dua wilayah yang dikuasai pemisah di timur Ukraine dan mendakwa Moscow tidak mempunyai rancangan untuk menduduki negara jiran itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram