Elavarasan perlu faham, ikut falsafah Pan-gon


  • Podium
  • Ahad, 27 Feb 2022

ELAVARASAN (kiri) dilantik secara rasminya sebagai pembantu Pan-gon pada Rabu. — FAM

PEMBANTU jurulatih tempatan Harimau Malaya yang baru dilantik, E Elavarasan harus memahami dan mengikut falsafah yang mahu diguna pakai oleh Kim Pan-gon dalam skuad kebangsaan.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan, B Sathianathan berkata, tugas yang dipikul oleh Elavarasan adalah amat penting kerana beliau mempunyai pengetahuan yang meluas mengenai pemain-pemain negara serta budaya bola sepak tempatan.

"Beliau perlu tahu dan faham falsafah yang ingin diterapkan oleh Pan-gon dan membantunya sehabis baik supaya beliau dapat mengaplikasikan falsafahnya dalam skuad negara.

"Jangan cuba-cuba untuk mengubah falsafah Pan-gon... kena sokong dan berdiri belakangnya supaya beliau berjaya melaksanakan tugasnya," katanya kepada Majoriti.

Beliau yang merupakan Pengarah Teknikal Sarawak United berkata, memandangkan Pan-gon tidak mempunyai pengetahuan tentang bola sepak negara, beliau mungkin memerlukan masa yang agak lama untuk memilih pemain yang sesuai bermain mengikut taktikalnya.

Justeru, Sathianathan berkata, Elavarasan bertanggungjawab untuk membantunya mengenali para pemain dengan lebih dalam dan mengesyorkan pemain yang sesuai dengan taktikal yang dimahukan Pan-gon.

"Kalau Pan-gon nak pemain yang laju atau yang pantas berfikir, semuanya Elavarasan sudah kenal dan boleh cadangkan kepada Pan-gon," katanya.

Pernah bekerja bersama Elavarasan di Sarawak United, Sathianathan berpendapat bahawa jurulatih berusia 57 tahun itu merupakan calon yang sesuai bagi membantu Pan-gon menjalankan tugasnya.

Untuk rekod, Elavarasan secara rasminya dilantik sebagai pembantu ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon pada Rabu, melepaskan jawatan ketua jurulatih Sarawak United FC yang disandangnya sejak Februari 2020 — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram