'Kadang-kadang mak ayah yang lebih', cari salah anak orang lain bukan caranya bangun skuad bola sepak kanak-kanak


  • Podium
  • Selasa, 21 Okt 2025

Ada segelintir ibu bapa yang suka mencari salah anak orang lain dan memberi arahan dari luar padang seolah-olah mereka jurulatih sebenar. — Gambar Hiasan/ Akademi Wira Muda

 

 

DALAM kehangatan bola sepak akar umbi yang sepatutnya menjadi gelanggang melahirkan bakat muda, muncul pula satu ‘drama tepi padang’ apabila segelintir ibu bapa didakwa terlalu beremosi hingga mengganggu fokus pemain dan jurulatih.

Perkongsian Akademi Wira Muda di media sosial baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila menegur sikap ibu bapa yang suka mencari salah anak orang lain dan memberi arahan dari luar padang seolah-olah mereka jurulatih sebenar.

"Dalam dunia bola sepak akar umbi, benda paling mudah untuk berlaku tapi paling bahaya untuk pasukan ialah sikap suka mencari salah anak orang lain.

BACA LAGI: Peguam antarabangsa kendali kes naturalisasi, FAM secara rasmi fail rayuan

BACA LAGI: Ramai tak tahu, bukan Sumareh tetapi bintang Singapura muncul pemain naturalisasi pertama Malaysia sebelum ‘campur tangan’ FIFA

"Kadang dalam latihan, kadang masa perlawanan. Ada yang menegur depan anak-anak, ada yang berbincang di tepi padang.

"Apabila satu kesilapan kecil berlaku, terus ada suara membandingkan 'tu sebab anak tu main lambat' atau 'kalau anak aku masuk tadi mesti gol', walaupun perkara tersebut nampak kecil, namun sebenarnya itulah racun dalam pasukan,” kongsi pentadbir laman Facebook berkenaan.

Tambah perkongsian itu lagi, ia bukan sahaja menjatuhkan semangat anak orang lain, malah boleh menimbulkan jurang antara ibu bapa, jurulatih dan pemain sendiri.

"Lama-lama, pasukan mula retak bukan sebab kalah, tapi sebab hilang rasa hormat dan semangat berpasukan. Kita kena ingat, anak-anak ni semua masih belajar. Setiap daripada mereka ada proses, ada masa, ada kelebihan dan kelemahan sendiri.

"Bila kita cepat menilai atau mencari salah orang lain, kita sebenarnya sedang ajar anak kita nilai orang lain bukan perbaiki diri sendiri," katanya.

Kesilapan dalam kalangan pemain hanya perlu ditegur jurulatih sahaja agar tidak menimbulkan jurang antara ibu bapa, jurulatih dan pemain sendiri. — Gambar Hiasan/ Akademi Wira Muda

Tegasnya, kesilapan dalam kalangan pemain perlu ditegur jurulatih sahaja.

"Itu tanggungjawab jurulatih, bukan kita di tepi padang. Jurulatih bukan maksum, tapi mereka ada pandangan dan pelan yang lebih besar kadang satu keputusan kecil dibuat bukan kerana suka-suka, tapi sebab nak bentuk mental dan disiplin pemain.

"Ibu bapa, tugas kita bukan cari salah, tapi bina suasana yang positif. Sokong anak sendiri, hormat anak orang lain, dan percayalah bila suasana pasukan harmoni, anak-anak akan belajar lebih cepat dan bermain lebih yakin.

"Kita nak hasil yang kekal, bukan kemenangan sementara.Dan pasukan yang kuat bukan pasukan yang paling hebat,tapi pasukan yang saling menghormati dan saling melindungi," katanya lagi.

Pentadbir laman Facebook berkenaan turut menasihati penjaga dan ibu bapa yang turun padang untuk bersikap lebih bantu-membantu.

"Mulai hari ini kalau nampak anak orang lain buat silap, ajarlah anak kita untuk bantu, bukan untuk menghina.

"Bola sepak bukan tentang siapa paling pandai, tapi siapa paling kuat hatinya untuk terus belajar," katanya.

 Akademi Wira Muda pasukan bawah 12 tahun (U12) muncul johan dalam Zero to Hero Championship 2025 Anjuran Penang Boy United baru-baru ini.

Akademi Wira Muda pasukan bawah 12 tahun (U12) muncul johan dalam Zero to Hero Championship 2025 Anjuran Penang Boy United baru-baru ini.

Hantaran berkenaan tular di media sosial dan menerima ratusan perkongsian daripada komuniti bola sepak tempatan yang rata-rata bersetuju dengan pandangan tersebut.

Seorang pengguna, Pengegar Langit berseloroh dan bersetuju dengan pekongsian tersebut.

“Betul itu... kadang mak ayah yang lebih-lebih. Kata datang nak tengok je, tapi sekali ‘coaching’ sekali,” tulisnya.

Ramai turut berharap agar mesej itu menjadi peringatan kepada ibu bapa supaya lebih beretika dan memahami peranan masing-masing dalam membentuk pemain muda yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga berdisiplin dan berjiwa besar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram