Bawa beg lutsinar ke sekolah seperti sistem Henry Gurney, setujukah ibu bapa?


  • Massa
  • Ahad, 19 Okt 2025

Penggunaan beg lutsinar seperti di sekolah Henry Gurney dapat mendidik pelajar tentang nilai kejujuran dan tanggungjawab diri. — Gambar Kenneth Chai

ISU disiplin pelajar sekolah semakin membimbangkan apabila terdapat laporan pelajar membawa vape, senjata tajam dan barangan terlarang ke kawasan sekolah.

Kejadian sebegini bukan sahaja menjejaskan imej institusi pendidikan, malah menggugat keselamatan warga sekolah secara keseluruhan.

Malah kejadian pelajar lelaki berusia 14 tahun yang menikam pelajar perempuan berusia 16 tahun sehingga mati di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama dekat Petaling Jaya, Selangor pada Selasa lalu sudah cukup membuktikan pelajar sekarang semakin berani membawa barang terlarang ke sekolah.

BACA LAGI: Nak salahkan ibu bapa dan sekolah, jangan lupa kita sendiri terhegeh-hegeh kongsi segala-galanya di media sosial

BACA LAGI : [VIDEO] ‘Bukan kali pertama berlaku’, Hafizh Syahrin kesal apa Zaqhwan sudah buat

Sehubungan itu, saya berpandangan pihak sekolah boleh memperkenalkan penggunaan beg lutsinar sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan pelajar membawa barangan yang tidak dibenarkan. 

Langkah tersebut dilihat praktikal kerana memudahkan guru dan pengawal keselamatan membuat pemantauan terhadap barangan yang dibawa tanpa perlu melakukan pemeriksaan fizikal yang rumit.

Pendekatan itu boleh dijalankan dengan mengambil inspirasi daripada sistem disiplin dan kawalan di Sekolah Henry Gurney di bawah Jabatan Penjara Malaysia yang menekankan aspek ketelusan, tanggungjawab dan pemantauan berterusan.

Contoh beg lutsinar yang boleh digunakan oleh pelajar sekolah. — Gambar Hiasan/Agensi 

Walaupun sekolah biasa tidak perlu mengamalkan peraturan seketat institusi pemulihan tersebut, namun beberapa elemen seperti pemeriksaan mengejut, zon larangan peranti elektronik serta pemeriksaan beg secara berkala boleh diadaptasi mengikut kesesuaian suasana sekolah harian.

Langkah sebegini bukan bertujuan menghukum, sebaliknya mendidik pelajar tentang pentingnya amanah dan disiplin diri. 

Beg lutsinar secara tidak langsung dapat menanam nilai integriti dan rasa tanggungjawab terhadap barangan peribadi. 

Ia juga memberi isyarat bahawa sekolah ialah tempat menuntut ilmu, bukannya ruang bebas untuk bertindak sesuka hati.

Antara kebaikan utama penggunaan beg lutsinar ialah ia dapat mendidik pelajar tentang nilai kejujuran dan tanggungjawab diri. 

Apabila pelajar tahu bahawa kandungan beg mereka mudah dilihat, mereka akan lebih berhati-hati dan berdisiplin dalam memilih barang yang dibawa ke sekolah. 

Ia juga membina rasa tanggungjawab terhadap peraturan dan secara tidak langsung mencegah salah laku sejak dari peringkat awal.

Sekolah Henry Gurney in Telok Mas, Melaka is a detention center for both boys and girls.

KPM boleh mengguna pakai beberapa sistem disiplin dan kawalan di Sekolah Henry Gurney. — Gambar Hiasan 

Pada masa yang sama, ibu bapa turut memainkan peranan besar dalam memastikan keberkesanan langkah ini. 

Pemeriksaan beg anak-anak di rumah, pemantauan rutin serta penerapan nilai disiplin sejak awal mampu membantu sekolah membina sistem pembelajaran yang lebih selamat dan terkawal.

Sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan (KPM) menilai semula garis panduan keselamatan di sekolah dan mempertimbangkan pendekatan seperti penggunaan beg lutsinar sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh disiplin pelajar.

Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko salah laku, malah mengembalikan rasa hormat pelajar terhadap undang-undang dan peraturan sekolah. 

Disiplin yang tegas tetapi mendidik akan membentuk generasi muda yang beretika, bertanggungjawab dan berakhlak tinggi.

Saya tahu mungkin ramai yang tidak bersetuju kerana pelaksanaan beg lutsinar ini dilihat akan melibatkan kos yang agak tinggi, terutamanya bagi keluarga berpendapatan rendah. 

Namun begitu, sekiranya pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat mencari jalan penyelesaian bersama, contohnya dengan menyalurkan bantuan khas atau sumbangan sukarela, langkah ini tetap boleh dilaksanakan secara berperingkat.

Kos yang dibelanjakan untuk keselamatan dan disiplin pelajar bukanlah satu pembaziran, sebaliknya pelaburan jangka panjang bagi membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan menghormati undang-undang. 

Sedikit pengorbanan hari ini boleh mengelakkan banyak masalah sosial pada masa hadapan. — Majoriti

Elizabeth Michelle Nyaring merupakan seorang pembaca prihatin yang bermastatutin di Petaling Jaya, Selangor

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram