Rahsia dalam tangan, The Cats ada ‘senjata’ malukan Sang Penyu depan fans tuan rumah


  • Podium
  • Selasa, 07 Okt 2025

Antara aksi menarik perlawanan Kuching City menentang Sabah FC di Stadium Likas pada Sabtu. — Facebook KUFC

 

 

KUCHING City FC (KUFC) kini tidak lagi boleh dianggap sebagai pasukan belasahan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Selepas berjaya menundukkan Sabah FC 1-0 di Stadium Likas dekat Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu, pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak itu kembali mengukuhkan status sebagai ‘Raja Borneo’, sekali gus memberi isyarat bahawa mereka kini berada pada landasan tepat untuk mencabar pasukan elit.

Kemenangan itu bukan sahaja melonjakkan keyakinan anak buah Aidil Sharin, malah menjadi pembakar semangat menjelang aksi getir menentang Terengganu FC (TFC) di Kuala Nerus, Terengganu pada 18 Oktober ini.

BACA LAGI: Kekal Raja Pantai Timur sejak 2016, konsisten poin penting TFC jauh ke depan berbanding seteru setempat

BACA LAGI: Malapetaka menanti Sabah FC jika masih kekal dengan strategi lapuk berdepan Kuching City’

Bekas pemain TFC, Mintah memberi kelebihan ketara buat jentera serangan KUFC. — Facebook KUFC

Pertembungan tersebut dijangka sengit bukan sekadar kerana kehebatan Sang Penyu di laman sendiri, tetapi juga disebabkan kebangkitan mendadak yang ditunjukkan The Cats sejak beberapa perlawanan terakhir.

Kehadiran penyerang import, Jordan Mintah, memberi kelebihan ketara buat jentera serangan KUFC. Bekas pemain TFC itu bukan sahaja mengenali corak permainan bekas pasukannya, malah memiliki keupayaan membaca kelemahan barisan pertahanan lawan.

Mintah dijangka menjadi ‘X-factor’ utama dalam usaha menembusi benteng hitam putih di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Di bahagian pertahanan kiri, Arif Fadzilah pula membawa elemen kelajuan dan kreativiti yang sering menjadi senjata taktikal Aidil Sharin dan dengan pendekatan fleksibel dan disiplin tinggi, pengendali berpengalaman itu dijangka menekan tuan rumah sejak awal permainan bagi meraih kelebihan awal.

Selain itu, jika dibandingkan dari segi kejurulatihan, Aidil Sharin sudah lama dikenali sebagai antara jurulatih yang memiliki ketajaman taktikal dan kemampuan luar biasa membina semangat juang pemain berbanding Badrul Afzan Razali.

Aidil Sharin sudah lama dikenali sebagai antara jurulatih yang memiliki ketajaman taktikal dan kemampuan luar biasa membina semangat juang pemain. — Facebook KFC

Sebelum membimbing Kuching City FC, Aidil Sharin mencipta nama bersama Kedah Darul Aman FC (KDAFC), di mana dia berjaya membawa skuad Hijau Kuning menjulang Piala FA 2019, Naib Juara Liga Super pada musim 2020 dan 2021 serta muncul antara pasukan paling konsisten dalam Liga Super ketika itu.

Apa yang pasti, keputusan seri 2-2 pada pertemuan menentang TFC pada Februari lalu selepas KUFC bangkit daripada ketinggalan dua gol sudah cukup membuktikan bahawa The Cats bukan pasukan yang mudah menyerah.

Jika Mintah dan rakan sepasukan dapat mengekalkan disiplin serta fokus sepanjang 90 minit, peluang mencuri sekurang-kurangnya satu mata, malah tiga mata penuh, bukan sesuatu yang mustahil.

Kini, The Cats jelas bukan lagi pasukan pelengkap jadual dan dengan kombinasi pengalaman jurulatih, kemasukan pemain berkualiti serta semangat luar biasa untuk menebus rekod silam, skuad Sang Penyu dijangka perlu bekerja keras untuk mempertahankan maruah mereka di Kuala Terengganu nanti.

Namun, harus diingatkan Terengganu FC bukan lawan mudah, apatah lagi mereka memiliki rekod cemerlang di gelanggang sendiri.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sering menjadi kubu kebal Sang Penyu dengan sokongan padu penyokong setia yang mampu memberi kelebihan psikologi besar.

Untuk rekod, Kuching City kini menghuni tangga keempat Liga Super dengan mengumpul 13 mata penuh setakat ini, hanya dibezakan jumlah jaringan dengan Terengganu FC (TFC) yang berada di tempat ketiga carta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram