
KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) mengambil pendekatan tunggu dan lihat susulan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mendapati Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyerahkan dokumen palsu bagi mendaftarkan tujuh pemain warisan.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul berkata, badan induk bola sepak Asia itu hanya akan bertindak selepas semua proses rayuan FAM di peringkat FIFA dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selesai.
“Kami perlu menunggu proses rayuan FAM dan biarkan mereka menggunakan semua saluran undang-undang yang ada.
BACA LAGI: Penyokong terluka, FAM tak boleh diam — Hannah Yeoh
BACA LAGI: Imej Malaysia sudah tercalar, FAM perlu sedia 'senjata' lawan FIFA
“Selepas semua proses undang-undang selesai, barulah tindakan selanjutnya akan diambil. Masih terlalu awal untuk mengeluarkan sebarang kenyataan ketika proses itu masih berjalan,” katanya pada Isnin.
Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati FAM menyerahkan dokumen palsu untuk mendaftarkan tujuh pemain warisan bagi mewakili Malaysia.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul —Facebook Asian Football
Hasil siasatan FIFA menemui perbezaan ketara antara sijil kelahiran asal yang diperoleh FIFA dengan dokumen yang dihantar oleh FAM bagi menyokong kelayakan pemain terbabit.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Hector Hevel, Jon Irazabal, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Joao Figueiredo.
FIFA memutuskan FAM dan tujuh pemain itu bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam urusan rasmi.
Susulan itu, FAM dikenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 Franc Swiss (sekitar RM11,000) dan digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Selepas menerima Motivated Decision atau keputusan penuh bertulis daripada FIFA pada 6 Oktober, FAM diberi tempoh tiga hari untuk memutuskan sama ada mahu mengemukakan rayuan.
Jika FAM memilih untuk berbuat demikian, mereka perlu memaklumkan kepada FIFA secara bertulis dalam tempoh tiga hari itu sebelum menghantar rayuan rasmi dalam tempoh lima hari berikutnya.
Sekiranya rayuan FAM kepada FIFA ditolak, mereka mempunyai tempoh 10 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA sebelum membawa kes itu ke CAS.
Selepas CAS membuat keputusan, hasilnya akan diserahkan kepada AFC untuk tindakan lanjut.
Tanpa mengira keputusan akhir, kes berkenaan tetap akan dirujuk semula kepada Jawatankuasa Tatatertib AFC bagi menilai sama ada FAM melanggar sebarang peraturan pertandingan dan menentukan tindakan susulan yang perlu diambil. — The Star/ T. AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram