'Tak sia-sia selama ini practice gelak Datuk-Datuk', Jojo Ghazali terima anugerah Ahli Bintang Sarawak


  • Podium
  • Rabu, 15 Okt 2025

Jojo Ghazali dianugerahkan Ahli Bintang Sarawak (A.B.S.) sempena ulang tahun kelahiran ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Sabtu lalu.

NAMA Johan Jojo Ghazali Zulfikar kini terpahat dalam sejarah sukan Sarawak apabila anak muda berbakat besar dalam arena muay thai itu dianugerahkan Ahli Bintang Sarawak (A.B.S.), antara pengiktirafan tertinggi negeri berkenaan.

Penganugerahan tersebut disampaikan sempena ulang tahun kelahiran ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Sabtu lalu.

Meskipun bukan anak jati Sarawak, atlet berusia 18 tahun itu menganggap negeri berkenaan sebagai rumah keduanya sejak mula berlatih di bawah Rentap Muay Thai Gym pada tahun 2015.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kami hanya Muay Thai', ibu Jojo Ghazali terharu ramai prihatin, sokong anak-anak wakili negara

BACA LAGI: Hanya perlu 2 minit, Jojo Ghazali tumpaskan Zakaria El Jamari menerusi KO

Dari situ, bakatnya terus berkembang sehingga menjadi kebanggaan sukan tempur Bumi Kenyalang.

Rentap Muay Thai Gym turut menzahirkan ucapan tahniah menerusi hantaran di media sosial bagi meraikan kejayaan anak didik mereka itu yang pernah meraih pingat emas di Kejohanan Dunia Belia IFMA 2022.

Dalam masa sama, laman Instagram Jojo turut dibanjiri dengan ucapan tahniah daripada rakan dan peminat yang teruja dengan pencapaian terbaharunya itu.

 

 

Antara yang menarik perhatian ialah pengguna media sosial yang berseloroh memanggilnya 'Dato Jojo' sambil mengucapkan tahniah atas anugerah berprestij itu.

"Tahniah Dato @johanghazali_. Tak sia-sia selama ini practice gelak dato-dato," tulis zennurketu.

Malah,seorang warga maya, iamarabyrd yang bergurau kononnya gelaran rasmi menanti atlet muda itu selepas ini.

"Sikit lagi tu Datukkk Ho ho hooo @johanghazali_," tulisnya.

Tidak kurang juga peminat antarabangsa yang memuji ketekunan dan semangat juang Jojo, selain mendoakan kejayaan berterusan buat wira muay thai berkenaan.

Untuk rekod, Jojo mencipta sejarah apabila menjuarai acara muay thai lelaki 60 kilogram di Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 menerusi kemenangan ‘knockout’ pada perlawanan akhir yang kemudiannya didedikasikan khas buat Sarawak.

Selepas beralih ke pentas profesional, Jojo mencipta kejutan di ONE Championship apabila menjadi atlet termuda dalam sejarah organisasi itu yang menandatangani kontrak penuh pada usia 16 tahun.

Kemuncaknya hadir pada ONE Friday Fights 36 di Bangkok pada Oktober 2023, apabila dia menumbangkan lawan dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev, melalui liver knockout.

Kemenangan itu bukan sahaja mengekalkan rekod cemerlang empat kemenangan berturut-turut, malah membolehkannya membawa pulang kontrak bernilai AS$100,000 (RM473,000) serta bonus prestasi 350,000 baht (RM46,000).

Terbaharu, Jojo terus membuktikan kehebatannya apabila mencatat kemenangan TKO pusingan pertama ke atas Zakaria El Jamari pada aksi ONE Fight Night 35 di Bangkok, September lalu.

Pada usia yang masih muda, Jojo membuktikan bahawa disiplin, semangat dan kecekalan mampu membawa seseorang ke puncak kejayaan.

Anugerah A.B.S. yang diterimanya itu wajar menjadi penghargaan kepada seorang atlet muda yang menumpahkan keringat dan semangatnya demi mengangkat nama Sarawak di pentas muay thai dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram