
PELUMBA Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah meluahkan rasa kecewa dan terkilan terhadap insiden pelanggaran yang berlaku ketika saingan Perlumbaan 2 kategori ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini, melibatkan dirinya dan pelumba Md Zaqhwan Zaidi.
Menurut Hafizh, kejadian itu berlaku di selekoh ke-9 ketika dia sedang mendahului perlumbaan sebelum 'dilanggar' secara mengejut dari belakang.
“Saya memang sentiasa ‘hard brake’ di selekoh itu, tapi kali ini dia datang terlalu laju dan tak sempat kawal. Saya tak sangka percubaannya begitu agresif,” katanya.
BACA LAGI: 'Kami kawal apa yang boleh', Faisal Halim enggan kontroversi pemain warisan ganggu Harimau Malaya
BACA LAGI: Sejarah mungkin berulang di Paroi andainya Gergasi Merah tak buang 'penyakit lama'
Hafizh bersedia untuk ‘move on’ daripada kejadian itu, namun berharap perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan Hafizh Syahrin dan Daddy Hood sebagai pemain dalam pelayan FiveM berasaskan Grand Theft Auto (GTA), Adik Beradik Role Play (ABRP) pada Selasa.
Tambah Hafizh, walaupun kecewa dengan situasi tersebut, dia memilih untuk kekal tenang dan tidak memberikan sebarang reaksi keterlaluan di trek.
“Saya hanya tanya, ‘What happened? Why you do this?’ dan terus angkat motor balik ke pit. Masa tu memang marah, tapi saya cuba fokus untuk perlumbaan seterusnya,” ujarnya.
Hafizh berkata, sekiranya insiden itu tidak berlaku, dia yakin mampu menghadiahkan kemenangan berganda buat penyokong tempatan yang hadir memberikan sokongan di Sepang.
“Kalau tiada pelanggaran, saya yakin boleh buktikan ‘double win’ untuk rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Menurut Hafiz lagi, insiden tersebut bukanlah kali pertama melibatkan Zaqhwan berbuat demikian pada pelumba yang lain.
"Ini pertama kali berlaku antara saya dan Zaqhwan tetapi pelumba-pelumba lain pernah berdepan insiden yang sama beberapa kali.
"Selepas ini, dia perlu fikir kerana kita mahu tengok semangat kesukanan.
"Bagi saya, gerakan itu tidak profesional dan Zaqhwan pun pelumba berpengalaman. Saya rasa dia perlu lebih profesional kerana gerakan seperti itu sebenarnya di luar jangkaan.
"Dia sepatutnya menunjukkan sportmanship yang tinggi tapi tidak," katanya dengan nada kesal.
Dalam masa sama, Hafizh menyeru semua pelumba tempatan, khususnya yang berpengalaman, agar menunjukkan sikap profesional dan semangat kesukanan sejati demi menjaga imej sukan permotoran negara.
“Ini sukan berkelajuan tinggi dan berisiko. Kita perlu ada ‘common sense’ dan tidak bermain secara tidak sihat. Saya sentiasa berlumba secara bersih untuk membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya.
Ketika ditanya sama ada Zaqhwan telah menghubunginya untuk memohon maaf, Hafizh hanya tersenyum dan berkata dia sedia untuk ‘move on’, namun berharap perkara sama tidak berulang pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram