Ramai tak tahu, bukan Sumareh tetapi bintang Singapura muncul pemain naturalisasi pertama Malaysia sebelum ‘campur tangan’ FIFA


  • Podium
  • Rabu, 15 Okt 2025

Setiap kali nama Mohamadou Sumareh disebut, ramai peminat bola sepak tanah air menganggap penyerang JDT11 itu merupakan pemain naturalisasi pertama dalam sejarah Malaysia.

 

 

SETIAP kali nama Mohamadou Sumareh disebut, ramai peminat bola sepak tanah air menganggap penyerang Johor Darul Ta'zim 11 (JDT11) itu merupakan pemain naturalisasi pertama dalam sejarah Malaysia.

Namun, hakikatnya seorang lagi figura pernah mendahului langkah itu hampir empat dekad lalu iaitu bintang Singapura, Allahyarham Razali Alias.

Lahir di Singapura pada 17 September 1961, Razali memulakan karier bersama Singapura FA sebelum berhijrah ke Selangor pada 1982, di mana kariernya sebagai pemain bola sepak mula menyinar.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Bukan kali pertama berlaku’, Hafizh Syahrin kesal apa Zaqhwan sudah buat

BACA LAGI: Selangor bukan lagi pilihan, data lebih berpihak KL City-TFC sebagai pencabar utama JDT musim ini

Bersama skuad Merah Kuning, dia menjulang Piala Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada 1982, 1984 dan 1986 ketika era kegemilangan pasukan yang turut dibarisi legenda seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, mendiang R. Arumugam dan Datuk Zainal Abidin Hassan.

Razali dikenali sebagai seorang penyerang yang berbisa pada suatu ketika dahulu.— Agensi

Antara detik paling diingati ialah final Piala Malaysia 1986, apabila Razali meledak gol penyamaan penting yang cukup menarik, sekali gus mencetus kebangkitan Selangor yang menewaskan Johor 6-1.

Rembatannya itu kekal terpahat sebagai antara momen klasik bola sepak Malaysia.

Ketika bersama Selangor, Razali memperoleh kewarganegaraan Malaysia pada 1984 dan setahun kemudian dipanggil menyertai skuad kebangsaan bagi kempen kelayakan Piala Dunia 1986.

Razali sempat beraksi dalam dua perlawanan persahabatan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 1985, memperlihatkan keserasian dan keupayaan luar biasa di posisi pertahanan.

Namun, segalanya berubah sebaik skuad kebangsaan pulang dari Dubai.

Razali Alias ketika beraksi bersama pasukan Selangor pada 1986. — Jiwa Selangor

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menghalang Razali daripada beraksi bersama Malaysia selepas mengesahkan pernah menyertai Singapura dalam kejohanan pra-Piala Dunia sebelum itu.

Peraturan FIFA pada ketika itu melarang mana-mana pemain yang pernah mewakili satu negara dalam kejohanan rasmi untuk bertukar pasukan kebangsaan, sekaligus menutup peluang Razali mewakili Malaysia dalam kejohanan kompetitif.

Lebih malang lagi, Razali ketika itu berada di kemuncak prestasi dan dijangka menjadi tonggak utama Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Dunia, namun segalanya musnah hanya kerana 'campur tangan' FIFA.

Walaupun kecewa, Razali terus menunjukkan semangat luar biasa apabila tetap menyarung jersi Malaysia dalam kejohanan jemputan seperti Pesta Bola Merdeka dan Piala Raja Thai.

Razali terus membuktikan semangat kesetiaan terhadap sukan lebih besar daripada sekadar peraturan di atas kertas.

Selepas bersara, Razali kekal aktif dalam dunia bola sepak sebagai jurulatih dan pengurus.

Razali meninggal dunia pada 27 Januari 2012 di Hospital Selayang, Selangor akibat komplikasi Hepatitis B pada usia 51 tahun. — Agensi

Razali pernah membimbing Proton FC, ATM FA serta menjadi penolong jurulatih Selangor antara 2005 hingga 2007.

Untuk makluman, Razali meninggal dunia pada 27 Januari 2012 di Hospital Selayang, Selangor akibat komplikasi Hepatitis B pada usia 51 tahun.

Pemergiannya meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan rakan seangkatan dan peminat bola sepak tempatan.

Kisah Razali Alias menjadi bukti bahawa konsep pemain naturalisasi bukan perkara baharu dalam sejarah bola sepak Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram