HARAPAN pemain warisan, Imanol Machuca, untuk kembali beraksi semakin cerah apabila kelabnya, Velez Sarsfield, memaklumkan pemain sayap itu yakin penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bakal ditarik balik dalam masa terdekat.
Ketua jurulatih Velez, Guillermo Barros Schelotto, berkata Machuca menunjukkan keyakinan tinggi selepas memberikan keterangan dan pembelaan kepada badan induk bola sepak dunia itu.
“Kami sudah berbual dengannya ketika dia sedang dalam perjalanan pulang.
BACA LAGI: 'Lahir di Kedah, saya boleh main untuk Penang', Milos Gordic 'bakar line' skandal warisan FAM
BACA LAGI: Penyokong terluka, FAM tak boleh diam — Hannah Yeoh
"Dia optimis tentang keadaannya, dan percaya FIFA akan mempertimbangkan pembelaannya dengan baik,” kata Schelotto kepada media Argentina.

Imanol Machuca sah bakal pulang ke Argentina dan bersama kelabnya, Velez Sarsfield. — Agensi
“Buat masa ini, kami masih menunggu keputusan rasmi daripada FIFA sebelum menentukan langkah seterusnya. Dia banyak membantu pasukan sebelum ini, jadi kami harap perkara ini dapat diselesaikan segera,” tambah bekas pemain antarabangsa Argentina itu.
Terdahulu pada 6 Oktober lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menyerahkan dokumen palsu bagi tujuan pendaftaran tujuh pemain berdarah campuran.
Selain Machuca, enam lagi pemain terlibat ialah Hector Hevel, Jon Irazabal, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Joao Figueiredo.
Siasatan FIFA mendapati wujud perbezaan antara sijil kelahiran asal yang diperoleh badan induk itu dengan dokumen yang dihantar FAM bagi menyokong kelayakan pemain terbabit untuk mewakili Malaysia.
Berikutan itu, FAM dan kesemua pemain tersebut didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam urusan rasmi.
Akibatnya, FAM dikenakan denda 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Swiss (RM11,000) serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak. — The Star/ T. AVINESWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
