Peguam antarabangsa kendali kes naturalisasi, FAM secara rasmi fail rayuan


  • Podium
  • Rabu, 15 Okt 2025

FIFA mengenakan denda sebanyak kira-kira RM1.8 juta terhadap FAM serta menggantung tujuh pemain warisan selama 12 bulan. 

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasmi telah mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain naturalisasi negara.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi mengesahkan rayuan tersebut dihantar sebelum tarikh akhir yang ditetapkan dan dikendalikan oleh pasukan peguam antarabangsa berpengalaman luas dalam perundangan bola sepak.

Memetik laporan Harian Metro,  rayuan itu dikemukakan pasukan peguam sebelum tarikh akhir berakhir berhubung isu membabitkan dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

BACA LAGI : Masih tiada perkembangan, FAM sedia tindakan guaman

BACA LAGI : Tempoh rayuan 10 hari hampir tamat, dengarnya FAM masih belum mohon 'motivated decision' dari FIFA

Mohd Yusoff memaklumkan proses rayuan itu dikendalikan pasukan peguam luar negara yang dilantik dan beliau percaya dokumen yang dikemukakan dibuat secara lebih kemas dan teliti.

"Apabila kami menghantar rayuan itu maknanya kami mengharapkan sesuatu keputusan yang positif dapat memihak kepada kami.

"Peguam yang dilantik itu adalah peguam dari luar negara," katanya. 

 

Datuk Yusoff Mahadi

Tambah beliau lagi, Malaysia NT (pasukan kebangsaan) adalah kumpulan profesional dan tentu sekali mereka ada hubungan dengan ramai peguam bertaraf antarabangsa yang faham mengenai bola sepak di peringkat antarabangsa.

"Malaysia NT mempunyai rangkaian dengan peguam yang lebih mahir atau lebih arif untuk membantu kami bagi proses rayuan itu. Malah, proses rayuan ini seperti pusingan kedua untuk kami dalam kes ini.

"Jadi saya fikir tentu sekali persiapan lebih kemas dan teliti dilakukan barisan peguam yang dilantik.

"Tidak timbul ia dibuat sambil lewa atau secara terdesak kerana kami mahu memastikan keputusan memihak kepada kami," katanya pada Rabu.

Terdahulu, pada 6 Oktober lalu, FIFA mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM serta menggantung tujuh pemain iaitu Palmero, Garces, Holgado, Machuca, Figueiredo, Irazabal dan Hevel selama 12 bulan. 

Langkah rayuan itu dianggap penting bagi memastikan keadilan kepada semua pihak serta mempertahankan integriti bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram