PENYOKONG pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) meluahkan rasa kecewa terhadap keadaan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi selepas kemudahan di venue berkenaan didakwa tidak diselenggara dengan baik dan berada dalam keadaan daif.
Seorang pengguna Facebook, Alya Nial, berkongsi pengalaman kurang menyenangkan ketika menggunakan tandas wanita di stadium itu sewaktu perlawanan antara NSFC dan Selangor FC pada Sabtu lalu.
Menurutnya, keadaan tandas bukan sahaja kotor malah bekalan air juga tiada, menyebabkan penyokong wanita berdepan kesukaran untuk menggunakannya.
BACA LAGI : 'Lahir di Kedah, saya boleh main untuk Penang', Milos Gordic 'bakar line' skandal warisan FAM
“Kalah tu den (saya) dah maafkan dah..tapi camno nak adu? Air dalam tandas perempuan tak keluar langsung, pintu tandas pun dah rosak lama. Bila nak betulkan ini.
"Macam mana cara guna tandas seperti ini?” tulisnya.
Alya turut memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan keadaan tandas yang kotor, pintu rosak serta paip yang mengeluarkan air keruh dan tidak selamat digunakan walaupun sekadar untuk mencuci tangan.
Malah, seorang lagi penyokong Mohammad Haidir turut berkongsi video pengalaman yang sama di tandas lelaki.
"Bincangkan.... Stadium Paroi tandas lelaki," tulisnya ringkas.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata penyokong lain turut menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap tahap penyelenggaraan stadium berkenaan yang disifatkan tidak setimpal dengan jumlah kutipan tiket setiap kali perlawanan berlangsung.
Seorang pengguna Facebook, Mohd Khairul A. Malek meninggalkan komen sinis selepas melihat gambar dan video tersebut.
“Stadium dah berapa kali penuh, duit tiket lebih RM200,000 setiap perlawanan. Tak akan masalah seperti ini pun tak boleh nak selesai?
"Malu betul, setiap kali perlawanan kutip ratus ribu tapi toilet masih macam ni.”
Sementara itu, pengguna lain, Boss125zr, turut mengkritik keadaan kemudahan asas yang disediakan di stadium berkenaan.
“Penyelenggaraan tandas teruk sangat. Kotor, air pun keladak. Ruang solat pun tak ada yang proper, hanya sediakan tikar. Ini pun langsung tak ada.”
Keadaan stadium tersebut perlu diberi perhatian pihak pengurusan kerana setakat musim ini, ribuan penyokong sudah membanjiri venue berkenaan kerana prestasi membanggakan skuad Jang.
Malah, ketika aksi terbaru itu, Negeri Sembilan FC tidak gagal dalam memastikan tiket habis terjual dengan peminat Merah Kuning turut teruja untuk datang ke Paroi bagi menonton aksi berkenaan secara langsung.
Untuk rekod, Selangor FC mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman dengan kehadiran 25,550 penyokong yang hadir.
Susulan itu, penyokong berharap pihak pengurusan stadium dan pihak berkuasa tempatan dapat segera mengambil tindakan bagi memperbaiki fasiliti di Stadium Paroi demi keselesaan orang ramai yang hadir memberi sokongan kepada skuad Jang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
