
BEKAS penyerang Kedah Darul Aman FC, Milos Gordic mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan apabila secara 'sinis' menyentuh isu pemain warisan yang kini hangat diperkatakan di Malaysia.
Menerusi satu hantaran di media sosial, pemain tinggi lampai kelahiran Serbia itu mendakwa dirinya 'lahir di Kedah' sambil memuat naik emoji ketawa, seolah-olah menyindir perdebatan hangat mengenai status pemain warisan dalam skuad kebangsaan.
Lebih mencuri tumpuan, Gordic turut menyatakan kesediaannya untuk beraksi bersama Penang FC, sekali gus mencetuskan spekulasi kemungkinan dia bakal kembali ke pentas Liga Malaysia (Liga M).
BACA LAGI: Rahsia dalam tangan, The Cats ada ‘senjata’ malukan Sang Penyu depan fans tuan rumah
BACA LAGI: Penyokong terluka, FAM tak boleh diam — Hannah Yeoh
"Penang Brotherhood, I was born in Kedah. I can play in Penang. Call me, I play without sallary," tulisnya ketika membalas komen usikan penyokong.
Kenyataannya itu segera mengundang pelbagai reaksi daripada penyokong, dengan ada yang menganggap ia sekadar gurauan, manakala sebahagian lagi melihatnya sebagai sindiran sinis terhadap kemelut status pemain warisan yang sedang hangat diperkatakan.
Skandal tersebut menerima perhatian antarabangsa selepas FIFA mengenakan hukuman dan denda ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung status tujuh pemain warisan.
Dokumen dihantar badan induk bola sepak negara itu didakwa tidak tepat dan palsu sehingga mendesak FIFA mengenakan hukuman denda serta penggantungan 12 bulan ke atas semua pemain terlibat.
Untuk rekod, Gordic pernah menyarung jersi Kedah pada musim 2024 dan dikenali sebagai penyerang yang kuat dalam perebutan bola udara serta berbahaya di kotak penalti.
Bagaimanapun, isu di luar padang menyebabkan Milos sukar memberi kesan apabila masalah gaji menyaksikannya terpaksa menjalani kehidupan dengan baik sementara keluarganya di Serbia juga terkesan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram