SUAMI kepada dua beranak yang ditemui mati dibunuh di Juru dekat Seberang Perai, Pulau Pinang di sini semalam, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan polis berhubung kes tersebut.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 57 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Roshayati Radellah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Ahad.
Tempoh reman bermula Ahad hingga 25 Oktober depan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
BACA LAGI : Merempat bawah flat selepas dihalau, nasib ibu tunggal warga Indonesia bersama 8 anak dibela penduduk Tampoi
Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap berwarna oren dan bergari tangan tiba di mahkamah sebelum dibawa keluar kira-kira pukul 11.05 pagi selepas perintah reman dikeluarkan.
Difahamkan, lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang itu ditahan untuk membantu siasatan, namun polis masih belum mengesahkan sama ada dia suspek utama dalam kes berkenaan.
Setakat ini, pihak polis juga belum mendedahkan sebarang maklumat lanjut berhubung motif pembunuhan tragis itu.
Sebelum ini, media melaporkan dua beranak dipercayai dibunuh dan ditemui maut di sebuah rumah di Juru pada Sabtu.
Dalam kejadian menyayat hati itu, mayat seorang wanita berusia lingkungan 50-an ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah dengan kecederaan parah di leher, manakala anak perempuannya berusia 11 tahun ditemui meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah berkenaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa ditemui oleh suami wanita itu sendiri ketika pulang ke rumah sekitar pukul 7.30 malam. — The Star/LO TERN CHERN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
