'Tolak confession, nanti kena tikam', trend bergurau tragedi sekolah Bandar Utama cetus kebimbangan normalisasi keganasan terhadap wanita


  • Tular
  • Ahad, 19 Okt 2025

Trend luahan perasaan di laman media sosial khususnya TikTok mencetuskan kebimbangan ramai pihak apabila ia dilihat menormalisasi keganasan terhadap wanita.

TREND gurauan di media sosial, khususnya TikTok, yang memaparkan kenyataan berbunyi 'kepada kaum wanita, bagus kamu terima bila lelaki meluah perasaan. Takut nanti kalau kamu tolak, kamu kena tikam' mencetuskan kebimbangan ramai pihak apabila ia dilihat menormalisasi keganasan terhadap wanita.

Lebih membimbangkan, trend itu mula tular selepas tragedi seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, yang maut selepas ditikam seorang pelajar lelaki pada Selasa lalu.

Ramai pengguna media sosial menyuarakan rasa tidak senang dengan trend berkenaan yang dianggap berbahaya serta mampu mempengaruhi pemikiran remaja, terutama apabila isu serius seperti keselamatan wanita dijadikan bahan lawak semata-mata untuk meraih perhatian di platform digital.

BACA LAGI: Nak salahkan ibu bapa dan sekolah, jangan lupa kita sendiri terhegeh-hegeh kongsi segala-galanya di media sosial

BACA LAGI: [VIDEO] 'Abang tak boleh kerja, isteri, anak aku kena bunuh', gempar tragedi ngeri berlaku dalam rumah di Juru

 

 

 

Perkara itu turut mendapat perhatian pengguna Threads, Rajita Pulanthiran, yang menegur sikap segelintir anak muda menjadikan keganasan terhadap wanita sebagai bahan gurauan.

“Satu trend yang amat membimbangkan. Anak muda kini semakin mudah memperlekeh keganasan terhadap wanita seolah-olah perkara itu sesuatu yang normal dan boleh dijadikan bahan lawak dalam budaya kita.

"Lebih mengejutkan, dalam gambar ketiga yang dikongsikan, gurauan sama turut dibuat oleh seorang individu bergelar pemimpin agama," luahnya.

Rajita turut menyifatkan mesej seperti itu berbahaya kerana meletakkan tanggungjawab kepada wanita untuk mengelak bahaya, bukannya menegur pelaku yang menggunakan kekerasan.

"Bukannya hendak mengecam mangsa atau menyalahkan sesiapa, tetapi yang menjadi persoalan ialah mengapa wanita pula disuruh menerima luahan perasaan lelaki semata-mata untuk menyelamatkan diri?

"Bila pula kita mahu mendidik lelaki supaya belajar menerima penolakan tanpa ego mereka tercabar?", soalnya.

Trend itu mula tular selepas tragedi seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Bandar Utama yang maut selepas ditikam seorang pelajar lelaki pada Selasa lalu.

Rajita turut memaklumkan sudah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung hantaran tersebut.

Perkongsian itu meraih lebih 3,500 tanda suka dan pelbagai komen daripada pengguna lain yang rata-ratanya mengecam trend berkenaan.

Seorang pengguna media sosial, cherises._ , meluahkan rasa kecewa dengan tindakan segelintir remaja yang menjadikan tragedi sebenar sebagai bahan gurauan.

“Lebih menjijikkan dan mengecewakan apabila yang memuat naik video seperti ini ialah remaja. Ia menunjukkan ada yang sudah hilang empati dan gagal membezakan antara lawak dan kezaliman,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi pengguna Threads prettybitsoflife berkata, generasi muda kini sanggup menjadikan kisah tragis sebagai bahan jenaka semata-mata untuk tular dan mendapat perhatian.

“Ada yang sanggup menjadikan tragedi sebenar sebagai jenaka untuk masuk ke halaman utama. Tiada rasa simpati, hanya ingin perhatian.

"Lebih baik jangan beri komen kerana ia hanya menambah capaian dan kepuasan mereka,” katanya.

Rata-rata pengguna berpendapat jenaka seperti itu boleh menghakis rasa empati masyarakat serta menanam persepsi bahawa ancaman terhadap wanita adalah perkara remeh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram