Ambil iktibar isu Perak FC-LTK, kenyataan PAFA ibarat tepuk air terpercik muka sendiri


  • Podium
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Perak FA mengeluarkan kenyataan berhubung saman yang perlu dibayar Perak FC terhadap Teong Kim.

NASIB buruk terus menimpa Perak FC selepas kelab tersebut diarahkan membayar RM1.04 juta terhadap bekas pengendali, Datuk Lim Teong Kim selepas tindakan kelab menggugurkannya dianggap tidak adil.

Arahan itu dikeluarkan selepas kedua-dua pihak membawa kes berkenaan ke Mahkamah Perusahaan dengan Pengerusinya, Datuk D Paramalingam menyatakan jurulatih tersebut berhak menerima pampasan.

Ini kerana Teong Kim masih mempunyai baki kontrak mencecah 16 bulan bersama skuad The Bos Gaurus (TBG) dengan gaji bulanan RM65,000 yang membuatkan tuntutannya mencecah amaun diarahkan itu.

BACA LAGI: PAFA pastikan bola sepak terus 'hidup' di Perak

BACA LAGI: Perak FA bukan sekadar buru gelaran juara A1, Khalid Jamlus tahu misi lebih besar menanti

 

Teong Kim berjaya membuat tuntutan ke atas bekas majikannya itu. Facebook/Perak FC

Perkara itu menerima respons pelbagai pihak, termasuk daripada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) sendiri yang mengeluarkan kenyataan mengharapkan isu tersebut menjadi peringatan buat semua pihak.

Jelasnya, perkara itu wajar dijadikan pengajaran buat semua kelab dalam negara supaya lebih cakna dalam menguruskan kewangan dan operasi pasukan pada masa akan datang.

"Pafa berharap Perak FC melalui XOX dapat menyelesaikan kes ini dengan bijaksana dan secepat mungkin, khususnya melibatkan tuntutan bekas pemain pasukan agar semula pihak mendapat keadilan sewajarnya," tulisnya.

Bagaimanapun, hantaran yang dibuat pada Isnin itu mengundang kemarahan dalam kalangan peminat yang menyatakan persatuan berkenaan turut bertanggungjawab atas kes berkenaan.

"Turunkan sahajalah kenyataan begini, punca daripada anda juga sampai turun liga, hampir nak terkubur. Nasib baik pihak XOX ambil alih dan selesaikan hutang dahulu.

Kenyataan dikeluarkan tidak lama selepas Perak FC diarahkan membayar tuntutan saman terhadap Teong Kim. Facebook/Perak FA

"Biarlah sahaja mereka yang selesaikan, mereka tahu apa perlu dibuat. Cerminlah dahulu diri itu, untung kamu dalam Liga A1 Semi Pro ini pun tak tahu macam mana," kata Mohd Dzran.

"Apakah motif sebenarnya Pafa buat hantaran sebegini sebenarnya ya? Dulu, mereka juga yang berhutang atau sudah diselesaikan? Lupa pula saya," kata Khairul Hanis.

"Patutnya dari awal lagi anda semua bantu Perak FC, kerjasama dengan mereka. Tidaklah penyokong berasa berbelah bahagi seperti sekarang. Anda semua pun seperti tidak kisahkan mereka," kata Daus Hazizi.

Kelab di bumi Darul Ridzuan itu sebelum ini menjadi pasukan swasta pada 2021 selepas sebuah syarikat telekomunikasi, Impact Media Communication (IMC) menjadi pemegang saham.

Bagaimanapun, hutang lama membelenggu menyaksikan mereka tidak dapat menampung kos operasi untuk jangka masa panjang sebelum XOX Pro Sport Sdn Bhd mengambil alih pada tahun berikutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram