
MINGGU pertama saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26 menyaksikan sebanyak enam perlawanan berlangsung dan siapa sangka, aksi ditonjolkan berjaya menghidangkan debaran buat peminat.
Tumpuan utama sudah tentu melibatkan pertembungan dua gergasi bola sepak Utara, iaitu Kedah FA dan Perlis GSA FC yang berlangsung di Stadium Kangar, Perlis.
Meskipun aksi berkenaan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, kerinduan peminat terhadap 'Derby Utara' sedikit sebanyak terubat kerana sudah sekian lama perlawanan melibatkan kedua-dua negeri tidak disaksikan.
BACA LAGI: 'Perang saudara' tercetus di Kedah tanpa sedar, wajarkah Lang Merah jauhi identiti Sang Kenari?
BACA LAGI: Kedah beruntung main Liga A1, masih mampu pikat bekas bek Terengganu
Perak FA dan Kedah FA gagal mencatatkan kemenangan dalam aksi pembukaan Liga A1 Semi Pro 2025/26. — Facebook/AFL
Debaran melibatkan peminat bola sepak di Utara tanah air tidak terhenti di situ apabila mereka sekali lagi disajikan pertembungan dua pasukan dari zon tersebut, iaitu di antara Perak FA dan Kedah FA.
Aksi kedua-dua pasukan itu akan berlangsung di Stadium MP Manjung, Perak pada Sabtu dalam usaha merekodkan kemenangan pertama di pentas Liga A1 Semi Pro 2025/26.
Seperti mana dinyatakan di atas, Kedah FA memulakan kempen kali ini dengan sedikit kekok selepas hanya meraih satu mata ketika bertandang ke Perlis.
Sementara itu, skuad Seladang yang berada di bawah kendalian Syamsul Saad dikecewakan UM-Damansara United di laman sendiri pada aksi pembukaan Isnin lalu dengan jaringan tunggal Shafizi Iqmal memberikan pasukan pelawat tiga mata penuh.
Skuad Seladang dikecewakan dalam aksi pembukaan apabila tewas kepada UM-Damansara United. — Facebook/Perak FA
Penambahbaikan sudah tentu mahu dipamerkan dalam perlawanan kedua memandangkan kegagalan mendapatkan rentak dari awal musim hanya akan membawa padah.
Malah, perlawanan kali ini akan menyajikan keistimewaan kerana ia akan diangkat sebagai 'Derby Utara' yang membawa makna berbeza buat mana-mana peminat di kawasan terbabit.
Debaran ditonjolkan peminat menjelang pertembungan tersebut perlu dicerminkan pemain di atas padang kerana kemenangan mampu mencetuskan momentum untuk musim yang masih panjang.
Meskipun waktu masih berbaki untuk memperbaiki kedudukan, Kedah FA dan Perak FA harus memanfaatkan perlawanan dinanti-nantikan seperti mana pernah ditonjolkan semasa mereka bertemu di peringkat tertinggi.
Aksi terakhir melibatkan kedua-dua pasukan di Stadium MP Manjung berakhir dengan keputusan seri. — Facebook/KDA FC
Pertembungan terakhir melibatkan pasukan dari kedua-dua negeri itu menyaksikan Kedah Darul Aman (KDA) FC terikat 1-1 dengan Perak FC dalam saingan Liga Super 2024/25.
Namun, kali terakhir dua kelab itu bertemu ketika masih berada di bawah kendalian kerajaan negeri adalah di pentas akhir Piala FA 2019 dengan skuad Lang Merah pulang dengan gembira.
Momen sebegitu pasti diharapkan mampu diulangi, tetapi peminat perlu bersabar sambil mengimpikan Perak FA dan Kedah FA dapat melangkah ke tahap tertinggi seperti dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram