
SETELAH mengalami kekecewaan dalam Sukan Universiti Dunia (WUG) Julai lalu, Muhammad Azeem Fahmi bangkit dan menyertai Terbuka India yang berlangsung di Stadium Kalinga, Bhunaneswar.
Penyertaan itu jelas membuahkan hasil apabila pelari pecut tersebut meraih pingat emas dalam acara 100 meter (m) menerusi catatan masa 10.35 saat (s) untuk mengatasi pencabar terdekat, Chamod Yodhasinghe dari Sri Lanka (10.43s).
Pingat gangsa pula milik seorang lagi wakil negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang memerlukan 10.50s untuk menamatkan perlumbaan akhir pada Isnin.
BACA LAGI: [VIDEO] Berat hanya 25 kg, atlet remaja Palestin maut akibat kebuluran di Gaza
BACA LAGI: Bonnie Bunyau, jaguh boling padang terima Anugerah Atlet SAM-100PLUS 2024
Namun, kegusaran melanda peminat sukan olahraga tanah air apabila Azeem kelihatan bergelut dengan kecederaan selepas melintasi garisan akhir apabila dia memegang kawasan pangkal paha.
Pelari berusia 21 tahun itu menamatkan larian dengan selesa sebelum kelihatan terenjut-enjut dan menahan kesakitan melihatkan riak wajahnya.
Perkara berkenaan turut dikongsikan seorang wartawan India, Pritish Raj yang menyatakan Azeem diberi bantuan perubatan menerusi satu perkongsian di media sosial X peribadinya.
"Pemenang acara 100m, Azeem Fahmi diberi sedikit rawatan. Dia memerlukan masa 10.35s untuk memenangi perlumbaan itu," tulisnya.
Setakat ini, tiada sebarang laporan lanjut mengenai keadaan atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu dan tentu sekali orang ramai mengharapkan dia kembali cergas.
Azeem Fahmi menerima rawatan selepas mengungguli acara 100m lelaki dalam Terbuka India. — X/Pritish Raj
Azeem sebelum ini layak ke perlumbaan akhir Terbuka India selepas menjuarai saringan kedua dengan masa 10.48s, sementara Danish di tempat ketiga menerusi catatan masa 10.64s.
Sebelum berlepas ke India, Azeem menetapkan misi membawa pulang keputusan terbaik buat negara sambil mengintai peluang memperbaharui catatan musim ini dan mencipta rekod peribadi baharu.
Meskipun tidak memperbaharui rekod peribadi serta catatan tahunan terbaik, hasratnya sekurang-kurangnya untuk meraih kedudukan podium tercapai.
Kejayaan berganda itu menjadi suntikan moral buat skuad pecut negara menjelang siri perlumbaan antarabangsa seterusnya, sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia di pentas olahraga Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram