
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Perak (PAFA) menghormati keputusan pemilik kelab, XOX Berhad yang memilih untuk tidak menghantar pasukan ke saingan Piala Belia dan Piala Presiden serta membubarkan skuad utama Perak FC daripada Liga Super musim hadapan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Presidennya, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, PAFA memaklumkan mereka menerima keputusan itu dengan terbuka memandangkan XOX Berhad memiliki 100 peratus saham Perak FC.
PAFA turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada XOX Berhad atas sumbangan mereka kepada pembangunan bola sepak negeri Perak sepanjang tempoh penglibatan mereka.
BACA LAGI: Tunggu masa tinggalkan Perak, ada sebab Selangor FC wajar rekrut Luciano Guaychocea
“PAFA amat bersimpati dengan nasib yang menimpa pemain-pemain, terutamanya golongan muda dan akan sedaya upaya membantu mengikut kemampuan yang ada terutamanya dalam aspek pembangunan bola sepak serta masa depan kerjaya mereka,” katanya di Facebook.
Pada masa sama, PAFA turut memberi jaminan bahawa pembangunan bola sepak di setiap daerah dan negeri Perak tidak akan terjejas dengan keputusan mengejut tersebut.
Perak mengumumkan penarikan diri daripada Liga Super musim depan. — Facebook/Perakfc
Sebaliknya, persatuan itu akan terus memfokuskan kepada pembangunan akar umbi seperti yang diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Perak. Antara perancangan terdekat PAFA termasuk pembentukan pasukan bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2025/2026.
Selain itu, pihak PAFA sedang menimbangkan untuk memberikan pendedahan lebih awal kepada pasukan SUKMA melalui penyertaan dalam Liga A1 atau A2.
"PAFA juga akan merujuk dan mendapatkan pandangan serta nasihat daripada Kerajaan Negeri, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Amateur Football League (AFL) sebelum mengambil sebarang langkah susulan berkaitan hala tuju bola sepak negeri.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terus menyokong PAFA, khususnya YAB Menteri Besar Perak atas dokongan tidak berbelah bahagi terhadap pembangunan bola sepak negeri ini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram