
PENYERTAAN Perak FA dalam saingan Liga A1 dilihat bukan semata-mata untuk memburu kejuaraan liga, tetapi lebih kepada persediaan awal menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2026.
Pandangan itu dilontarkan oleh bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus yang menyatakan bahawa langkah pasukan itu menyertai Liga A1 Semi Pro sebenarnya bertujuan untuk membina kekuatan skuad muda Perak yang bakal membawa cabaran negeri dalam Sukma tahun hadapan.
Khalid berkata, penyertaan dalam liga kompetitif seperti A1 membolehkan pemain muda menimba pengalaman, meningkatkan tahap stamina serta lebih bersedia dari segi taktikal dan fizikal menjelang Sukma 2026.
BACA LAGI: Lepas legenda Kedah, Khalid Jamlus pula buka kisah jadi 'mangsa buli' di Perak
BACA LAGI: Khalid Jamlus yakin kebolehan Harimau Malaya, mampu tundukkan Jordan di Piala Asia
"Sebenarnya tujuan utama mereka masuk (Liga A1) adalah persiapan untuk Sukma. Platform untuk belia sekarang saya tak pasti sebab liga simpanan pun dah tiada, jadi mereka ambil pendekatan Liga A1.
"Apabila menyertai Liga A1 dan mereka bertemu dengan pasukan-pasukan kuat, mereka akan dapat ilmu dan pengalaman. Dari situ, mereka jadi lebih matang," katanya kepada Majoriti.
Khalid juga tidak menolak kemungkinan Perak FA mampu menamatkan saingan Liga A1 dalam kelompok lima teratas, namun menegaskan bahawa prestasi di liga hanyalah sebahagian daripada pelan jangka panjang pembangunan pasukan.
Khalid merupakan satu figura bola sepak negara melihat kepada kariernya yang gilang-gemilang.
Sasaran lima teratas itu boleh diperolehi sekiranya skuad Utara tanah air berkenaan memasukkan beberapa pemain berpengalaman dan bintang import, dengan ia bertujuan memberi suntikan kematangan kepada 'ubi' muda.
"Saya tak tengok sangat kepada kedudukan Liga A1. Nombor lima, tujuh, atau sembilan sekalipun, itu tak penting. Yang penting ialah persediaan ke arah Sukma.
"Kalau betul majoriti adalah pemain bawah 23 tahun, memang jelas sasaran mereka adalah untuk Sukma. Dan kalau mereka layak ke Liga A1, mereka akan rangka semula strategi. Selepas itu baru fikir langkah seterusnya," ujarnya.
Khalid menyimpulkan bahawa pencapaian dalam Liga A1 bukanlah matlamat utama, sebaliknya sebagai medium latihan dan pendedahan untuk memastikan pasukan Perak benar-benar bersedia menjelang Sukma 2026.
Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bahawa badan induk bola sepak negeri Perak itu sedang merancang untuk menghantar pasukan bertanding sebagai persiapan untuk Sukma 2026. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram